ASEAN-China bincang COVID-19 di Laos 20 Februari ini
Rahimah Abdullah
Februari 14, 2020 18:44 MYT
Februari 14, 2020 18:44 MYT
Isu koronavirus (COVID-19) akan dibincangkan dalam satu Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Menteri Luar China di Laos 20 Februari ini.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, mesyuarat itu juga dalam usaha menyatakan solidariti ASEAN terhadap China dalam menghadapi penularan wabak berkenaan.
Pada masa sama, ia akan menyaksikan perkongsian maklumat antara ASEAN mengenai pendekatan diambil negara anggota dalam berhadapan dengan COVID-19.
“Saya rasa perkara paling penting ialah menunjukkan solidariti ASEAN dengan China dalam berhadapan dengan isu itu bersama-sama. Ini kerana China adalah rakan dagangan terbesar ASEAN dan tentunya bagaimana setiap negara anggota ASEAN menangani isu berkenaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Knowledge Management dan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Diplomasi Dan Hubungan Luar Negeri dengan Universiti Malaya, Universiti Malaysia Sarawak Dan Universiti Malaysia Sabah di Kementerian Luar Negeri, di sini pada Jumaat.
Menurutnya, perbincangan ASEAN dan China itu juga penting demi hubungan dagang dengan China dan pada masa sama berkongsi pengalaman antara negara anggota.
“Setiap negara anggota mungkin mempunyai pendekatan tersendiri dalam menyelesaikan satu perkara, dan ini sudah tentunya disebabkan keperluan domestik negara masing-masing. Ia juga penting untuk berkongsi dengan China apa yang ASEAN lakukan (dalam berdepan COVID-19).
Malah katanya, melalui perbualan telefon antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Xi Jinping semalam turut menekankan bahawa ASEAN perlu menunjukkan keyakinan terhadap China dalam mengatasi situasi penularan COVID-19.
#ASEAN
#China
#COVID-19
#koronavirus
#Menteri Luar ASEAN
#Mesyuarat Khas
#penularan wabak
#Saifuddin Abdullah
#solidariti asean