ASEAN bersatu akan mampu lawan ketidakadilan kuasa ekonomi dunia - Dr Mahathir

Najib Aroff
November 2, 2019 14:04 MYT
Dr Mahathir berkata ASEAN belum menggunakan kapasiti populasi sepenuhnya untuk bersaing dengan negara kuasa besar lain. - Foto Bernama
Penyatuan ASEAN sebagai satu entiti yang utuh akan membolehkan rantau ini berdepan sebarang cabaran ekonomi dunia termasuk sikap tidak adil negara Barat.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata dengan populasi 650 juta penduduk, penyatuan jitu ASEAN akan membuatkan negara Eropah dan Barat memandang secara serius setiap isu yang diutarakan rantau ini.
“Jika anda ingin didengari anda perlu menjadi kuat. Jika kita berfungsi sebagai satu blok serantau iaitu ASEAN, kita mampu mempertikaikan keputusan negara kuasa besar dalam setiap forum supaya ia adil kepada kita.
“Kita perlu bersatu dan bercakap menggunakan satu bahasa,” katanya ketika mengulas perang dagang yang berlaku antara Amerika Syarikat dan China.
Tambah Dr Mahathir, ASEAN perlu membuat keputusan tentang pendirian dalam setiap isu sebelum bertemu dengan negara kuasa besar.
“Kita perlu mempunyai pendirian. Jika mereka berbuat tidak baik kepada kita, kita juga perlu melawan,” katanya.
Dr Mahathir turut memberi contoh apabila Parlimen Eropah mengharamkan penggunaan minyak sawit Malaysia atas dakwaan kononnya ia memusnahkan hutan.
“Kita boleh membalas tindakan ini. Jika mereka mengurangkan pembelian minyak sawit dari Malaysia, kita juga akan mengurangkan import dari mereka pada jumlah yang sama.
“Kita harus menggunakan sepenuh kekuatan ASEAN dan mengenalpasti kelemahan mereka,” ujarnya sambil menyeru ASEAN untuk terus memastikan kerjasama utuh.
Sementara itu Dr Mahathir berkata ASEAN belum menggunakan kapasiti populasi sepenuhnya untuk bersaing dengan negara kuasa besar lain.
“Kita tidak melihat cara baharu untuk menjalankan perniagaan terutama menggunakan teknologi malah kita tidak faham tentang pendigitalan.
“China sebagai contoh berjaya menukar sistem dari tunai kepada pembayaran digital dengan pantas sehingga mereka maju.
“China mempunyai populasi dua kali ganda dari ASEAN dan mereka bijak menggunakan populasi mereka,” katanya.
Dr Mahathir berkata ASEAN harus mengetahui kehendak penduduk rantau ini dan mula menghasilkan produk berdasarkan kemahuan populasi.
Langkah itu akan membolehkan ekonomi ASEAN ditampung utuh oleh penduduk rantau ini sekaligus menjadi blok kuasa ekonomi dunia.
#Amerika Syarikat #ASEAN #China #Mahathir Mohamad #Malaysia #perang perdagangan #Perdana Menteri
;