ASEAN berpotensi jadi ‘kuasa pertengahan’, tangani ketegangan geopolitik - Zambry

Bernama
Februari 12, 2025 07:40 MYT
Zambry (kiri) berperanan sebagai moderator bagi BN Forum: Impak Pemilihan Trump dan Dasar-Dasarnya ke atas Dunia yang berlangsung di WTC Kuala Lumpur, malam tadi. - Facebook Zambry
KUALA LUMPUR: ASEAN berpotensi untuk menjadi ''kuasa pertengahan' dalam memainkan peranan penting menangani ketegangan antara kuasa-kuasa besar bukan dengan tujuan berperang tetapi sebagai mediator dan pengimbang.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, dengan peralihan daripada sistem unipolar, di mana satu kuasa besar mendominasi kepada sistem multipolar, ASEAN dilihat boleh membawa suara seruan ke arah penyelesaian diplomatik dalam menghadapi pertikaian antarabangsa.
"Kebetulan Malaysia sekarang menjadi Pengerusi ASEAN dan Malaysia boleh memainkan peranan dalam membawa hal-hal berkaitan pertikaian ini supaya dapat diselaraskan.
"Contohnya, dalam isu krisis di Myanmar, kita harapkan ia dapat diselesaikan," katanya kepada pemberita selepas selesai menjadi moderator bagi BN Forum: Impak Pemilihan Trump dan Dasar-Dasarnya ke atas Dunia di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, malam tadi.
Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, forum yang dianjurkan dalam beberapa siri itu bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap isu-isu global dan kesannya kepada negara.
Katanya, ini penting kerana dunia kini bergerak ke arah kehidupan yang lebih kompleks dan dinamik, sekali gus memerlukan masyarakat memahami isu-isu luar negara serta implikasinya terhadap negara.
- BERNAMA
#ASEAN #kuasa pertengahan #ketegangan geopolitik #Zambry Abdul Kadir
;