ASEAN berpeluang satukan sumber tenaga untuk pembangunan mampan - TPM Fadillah
Nina Rozman
Januari 13, 2025 15:51 MYT
Januari 13, 2025 15:51 MYT
SUNWAY : Kebergantungan terhadap satu negara sahaja untuk mendapatkan sumber tenaga baharu bermungkinan tidak mencukupi.
Menurut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, ASEAN dilihat mempunyai potensi besar untuk menggabungkan kelebihan sumber tenaga setiap negara anggota melalui kerjasama strategik lebih kukuh dan holistik.
"Contohnya, negara seperti Laos dan Kemboja mempunyai potensi dalam tenaga angin, manakala negara lain seperti Malaysia, Thailand dan Indonesia memiliki kelebihan dalam tenaga suria dan hidro," kata beliau.
Tambahnya, dengan menghubungkan sumber-sumber tenaga ini secara strategik, ASEAN berpotensi untuk membentuk sistem tenaga yang lebih seimbang, lestari, dan mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber semata-mata.
“Dengan imbangan ini, lebih banyak penyelidikan dan pembangunan boleh dijalankan secara serantau, termasuk dalam bidang-bidang baharu seperti hidrogen sebagai sumber tenaga masa depan,” kata Fadillah.
Beliau menegaskan bahawa melalui kerjasama serantau ini, ASEAN dapat memastikan bekalan tenaga yang lebih mampan, dengan setiap negara menyumbang kelebihan tenaga yang mereka miliki.
Inisiatif untuk memajukan pembangunan lestari ini menurut beliau, melibatkan pelbagai pihak, termasuk kementerian, sektor swasta, masyarakat sivil, dan akademia.
Beliau berkongsi tentang Sunway, melalui kerjasama dengan Sustainable Development Solutions Network (SDSN) dan United Nations SDSN, telah melaksanakan pelbagai projek yang memberi fokus kepada kelestarian.
Menurut beliau lagi, usaha ini tidak hanya terhad kepada pemeliharaan alam sekitar, tetapi juga melibatkan penambahbaikan dalam sektor tenaga, terutamanya dalam usaha dekarbonisasi.
"Dalam usaha memastikan pembangunan lestari yang menyeluruh, dekarbonisasi menjadi salah satu agenda utama untuk mengurangkan pelepasan karbon secara signifikan.
"Ini termasuklah pembinaan sistem penghantaran tenaga yang lebih cekap, seperti ASEAN Power Grid, yang bertujuan untuk menghubungkan sumber tenaga daripada pelbagai negara," kata Timbalan Perdana Menteri itu lagi.
Datuk Seri Fadillah berkata demikian pada hari pertama ASEAN Workshop on Sustainable Development (AWSD) 2025, yang menyaksikan perbincangan penting mengenai pembangunan mampan dan kerjasama serantau dalam menghadapi cabaran global.
Sementara itu, Pengerusi UN Sustainable Development Solutions Network Malaysia, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah, dalam ucapan aluannya berkata, sokongan dari sektor awam dan swasta, serta komitmen yang berterusan terhadap kelestarian, ASEAN berpotensi besar untuk memimpin dunia ke arah pembangunan yang lebih mampan dan saksama.
“Dalam interaksi saya dengan golongan muda hari ini, saya amat terkesan dengan komitmen dan keyakinan mendalam mereka untuk membina masa depan yang lebih progresif, lestari, inklusif, dan saksama.
"Untuk menjadikannya kenyataan, apa yang diperlukan adalah kesungguhan politik yang kuat daripada sektor awam dan komitmen lebih teguh daripada sektor swasta terhadap prinsip ‘Three P’ - People, Planet, and Prosperity. ASEAN memiliki potensi untuk memimpin dalam mencapai aspirasi ini,” ujarnya.
Malaysia secara rasminya menjadi Pengerusi ASEAN pada 1 Jan lepas dengan tema 'Keterangkuman dan Kemampanan'.