ASEAN bangkit sebagai kuasa baharu Asia Pasifik dan melepasinya - Najib

Bernama
November 21, 2015 12:42 MYT
Perdana Menteri turut menyatakan semangat politik serta nilai yang sudah tertanam erat dalam emosi dan budaya warga ASEAN sebagai elemen yang terus menyatukan pakatan itu. - Foto Bernama
Sepuluh negara anggota ASEAN kini sudah bersedia untuk bangkit semula sebagai satu komuniti, menonjolkan dirinya sebagai kuasa baharu di Asia Pasifik dan melepasinya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Ketika perkumpulan itu memulakan perjalanan sebagai sebuah komuniti, Najib berkata sudah menjadi tugas penting ASEAN untuk memastikan rakyat dan kerajaan Asia Tenggara sudah bersedia bertanggungjawab bersama-sama apabila cabaran muncul.
'Inilah masa ASEAN - inilah masa kita. ASEAN boleh dan wajar memain peranan utama dalam mencorakkan abad Asia, dan bekerja bersama-sama rakan usaha sama merentas benua bagi mencorakkan dunia yang makmur, aman dan terbuka,' katanya dalam ucapan pembukaan pada Sidang Kemuncak ASEAN kali ke-27 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan, di sini hari ini.
Najib juga menggesa perkumpulan itu bertindak bagi mengantarabangsakan ASEAN, menjadikan pakatan itu lebih kukuh berbanding negara secara individu, yang akan memperakui dan menghomati kebangkitan ASEAN dan apa yang sudah dicapai.
Di rantau ini, beliau berkata perkumpulan itu perlu bekerjasama untuk mencari penyelesaian ke atas masalah alam sekitar seperti jerebu, bencana alam semula jadi, termasuk banjir dan gempa bumi, serta migrasi, kata Perdana Menteri.
Perdana Menteri berkata pertumbuhan rantau ini sangat mengagumkan dengan ASEAN semakin dilihat bukan sahaja sebagai penting kepada ekonomi dan rangka keselamatan, bahkan sebagai rantau yang mempunyai peluang yang luas.
"Suka saya mencadangkan anda merenung seketika - dan bayangkan hari ini anda tinggal di rantau yang lain - tanpa ASEAN. Apa yang akan jadi?
"Jelas sekali jawapannya pasti tidak - kita tidak akan menjadi seperti apa kita hari ini tanpa ASEAN. ASEAN sudah memenuhi matlamatnya dan mencapai kejayaan besar," kata Najib.
Dengan lebih 240 juta penduduk Islam, 140 juta Buddha, 130 juta Kristian dan berjuta lagi penganut Hindu, Sikh, Konfucius, Tao dan lain-lain, selain pelbagai etnik berbeza, Asia Tenggara pernah digelar 'Balkans of the Orient' (Balkan Timur).
"Kepelbagaian kepercayaan dan etnik kita sangat tinggi. Kita perlu bekerja bersama-sama dan menangani perbezaan. Namun dalam menjayakannya, kita perlu menjadi contoh unik bagaimana sepuluh negara berbeza boleh membentuk visi yang dikongsi bersama," kata Perdana Menteri.
Najib juga menggesa negara angota supaya bekerja lebih keras, untuk rakyat, dengan komited menjayakan langkah khusus selain menunaikan janji.
"Kita perlu laporkan kejayaan padu apabila bertemu semula di Vientiane," katanya.
Najib memetik contoh mengenai perlunya memastikan laluan khusus untuk warga ASEAN di setiap lapangan terbang dan pelabuhan antarabangsa, dan pada masa yang sama menikmati makanan ASEAN di kafe, gerai tepi jalan, kompleks makanan dan pasar raya.
"Kita perlu mempromosi lebih banyak perayaan ASEAN dan hubungan kebudayaan serta memastikan tiada pelajar yang menamatkan pengajian tanpa mengetahui sejarah kita," kata Najib.
Perdana Menteri turut menyatakan semangat politik serta nilai yang sudah tertanam erat dalam emosi dan budaya warga ASEAN sebagai elemen yang terus menyatukan pakatan itu selain menjadi asas kepada laluan yang sedang diperkukuh bersama-sama.
#ASEAN #Najib Razak #Sidang Kemuncak ASEAN
;