ASEAN-Australia: Malaysia suarakan usaha tingkatkan hubungan akrab
Nursyazwani Saiful Sham
Mac 5, 2024 20:03 MYT
Mac 5, 2024 20:03 MYT
MELBOURNE : Antara fokus yang akan disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia adalah kerjasama antara anggota-anggota ASEAN dan Australia.
Dalam satu sidang media, Anwar menjelaskan, untuk meningkatkan hubungan akrab antara ASEAN dan Australia bidang yang menjadi tumpuan kerjasama tersebut adalah transisi tenaga, digital dan keselamatan siber.
“Isu yang masih berlegar adalah minat Australia untuk lebih akrab dengan ASEAN dan meneruskan bidang kerjasama.
“Untuk menunjukkan keyakinan Australia dalam perkara ini, negara itu mengumumkan dana AUD 2 bilion untuk melabur dan bekerjasama pelbagai bidang di ASEAN.
“Tumpuannya masih di sekitar transisi tenaga, digital, siber sekuriti,” katanya kepada media Malaysia sempena lawatan rasminya selama empat hari di Australia pada Selasa.
Ujarnya lagi, inti pati kenyataan tersebut yang masih terikat kepada kerjasama ASEAN dan Australia adalah berkenaan isu pelaburan, isu kerjasama dalam melihat isu-isu dalaman soal digital, serta transisi tenaga.
“Itu antara isu yang harus kita bicarakan, tetapi tentunya saya akan ambil kesempatan untuk menyatakan penghargaan kepada Australia dan New Zealand yang akan hadir yang telah menyatakan sikap mereka mendukung usaha untuk hentikan serangan dan menyuarakan bantuna kemanusiaan kepada Gaza,” katanya.
Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia 2024 bermula hari ini, menghimpunkan pemimpin Asia Tenggara (SEA) dan Australia, pemimpin perniagaan dan komuniti, golongan pakar dan ahli akademik untuk membincangkan bidang tumpuan utama, antaranya perniagaan; pemimpin baharu; iklim dan tenaga bersih dan kerjasama maritim.
Sidang kemuncak selama tiga hari itu berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Melbourne (MCEC), juga menandakan ulang tahun ke-50 hubungan dialog Australia dengan ASEAN.
Australia menjadi Rakan Dialog ASEAN yang pertama pada tahun 1974, status rasmi yang diberikan kepada sebuah negara untuk mengeratkan hubungan dan Rakan Strategik Komprehensif ASEAN pada tahun 2021.