ASEAN akan fokus menuju matlamat integrasi ekonomi serantau - Mustapa Mohamed
Sathesh Raj
Ogos 23, 2015 23:07 MYT
Ogos 23, 2015 23:07 MYT
Di sebalik cabaran kejatuhan harga minyak dan komoditi, mata wang yang semakin lemah dan persekitaran ekonomi luaran, ASEAN akan tetap fokus menuju matlamatnya, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
"Kami (menteri-menteri ekonomi) semua bersetuju bahawa tidak akan berganjak daripada matlamat merealisasikan program integrasi ekonomi serantau, yang kami akan tetap fokus dengan matlamat itu," katanya ketika berucap merasmikan pelancaran Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi (AEM) 47 ASEAN Mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Beliau juga berkata, ASEAN komited untuk mengurangkan jurang antara negara di rantau ini dan untuk melibatkan diri secara lebih intensif dengan negara rakan kongsi.
"Pencapaian ini bagaimanapun akan memerlukan kesepakatan dan kerjasama," katanya.
Beliau berkata, cabarannya adalah untuk membuat Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) menjadi lebih bermakna kepada rakyat dan komuniti perniagaan.
Terdapat lima perkara utama yang diketengahkan oleh Mustapa yang perlu menjadi keutamaan bagi ASEAN untuk mencapai integrasi ekonomi.
Pertama: ASEAN perlu terus meningkatkan integrasi ekonomi dengan menangani peraturan domestik dan mengharmonikan undang-undang dan peraturan-peraturan, penyeragaman standard dan menggalakkan ketelusan yang lebih tinggi di rantau ini.
Kedua: Mempercepatkan penggunaan Teknologi Maklumat (IT) dalam memudahkan dagangan intra-ASEAN dan pelaburan dan menyediakan platform elektronik berasaskan kepada sektor swasta untuk menjalankan perniagaan di rantau ini, termasuk aduan perdagangan.
Ketiga: Meneruskan usaha merapatkan jurang pembangunan dengan mengukuhkan pertumbuhan segi tiga sub-serantau (sub-regional growth triangles) dan memudahkan perdagangan dan pelaburan sempadan;
Keempat: Mempercepatkan liberalisasi perkhidmatan, termasuk perkhidmatan kewangan dan integrasi pasaran modal untuk menyediakan infrastruktur kewangan yang diperlukan dan kemudahan untuk perniagaan, terutamanya kepada sektor Mikro, Perusahaan Kecil dan Sederhana.
Kelima: Keperluan untuk melihat sektor swasta mengambil alih peranan yang lebih proaktif dalam integrasi ekonomi. Perkongsian antara kerajaan ASEAN dan sektor swasta akan terus diperkukuhkan agar bersama-sama boleh memajukan integrasi ekonomi yang lebih bermakna.