ASEAN 2025: Malaysia ketengah tiga tonggak utama di Pemukiman Menteri Luar
Luqman Hariz
Januari 18, 2025 10:15 MYT
Januari 18, 2025 10:15 MYT
LANGKAWI: Malaysia akan mengetengahkan tiga tonggak utama iaitu politik-keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan hari ini berkata, ini bertujuan memastikan ASEAN lebih bersepadu, inklusif dan mampan, sekali gus memperkukuhkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mempengerusikan Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN di sini hari ini, menandakan permulaan sesi mesyuarat di bawah kepengerusian Malaysia tahun ini.
Ia merupakan yang pertama daripada lebih 300 mesyuarat atau program yang akan diadakan di negara ini sepanjang 2025.
Menurut Wisma Putra, Malaysia turut mengenal pasti beberapa bidang keutamaan dan keberhasilan yang akan dijadikan fokus sepanjang tahun ini, selari dengan tema kepengerusian negara iaitu keterangkuman dan kemampanan.
Sesi pemukiman juga akan membincangkan hala tuju strategik ASEAN, termasuk usaha memperkukuhkan pembangunan komuniti dan hubungan luar ASEAN, selain tindakan susulan kepada keputusan-keputusan yang telah dicapai dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-44 dan Ke-45 dan Sidang-sidang Kemuncak
Berkaitan di Vientiane, Laos pada Oktober 2024.
Menteri-Menteri Luar ASEAN akan turut bertukar pandangan mengenai perkembangan terkini di peringkat serantau dan antarabangsa, termasuk krisis di Myanmar, ketegangan geopolitik dan cabaran-cabaran lain yang memberi kesan kepada keamanan dan kestabilan serantau.
Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN 2025 yang berlangsung pada 19 dan 20 Januari ini menyaksikan penyertaan Menteri Luar dan pegawai kanan dari kesemua 10 negara anggota ASEAN serta Timor Leste selaku negara pemerhati.