ASEAN 2019: Tun M tiba di Bangkok untuk lawatan kerja 4 hari
Harits Asyraf Hasnan
Jun 20, 2019 20:46 MYT
Jun 20, 2019 20:46 MYT
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Pangkalan Udara Tentera DiRaja Thai kira-kira pukul 7.30 petang waktu tempatan bagi lawatan kerja empat hari sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34 dan Mesyuarat Berkaitan.
Beliau yang ditemani isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali disambut Menteri Dalam Negeri Thailand, Jeneral Anupong Paojinda dan isteri Kulaya Paojinda dan Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel serta isteri Datin Catherina Christine Cherian.
Sejurus tiba di hotel penginapan, Dr Mahathir dan isteri disambut oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ignatius Darell Leiking.
Selain Darell, menteri Kabinet yang turut dijadual hadir adalah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Pada Jumaat, Dr Mahathir bakal merasmikan program Malaysia Fest 2019 di The Central World Shopping Mall, di samping mengadakan mesyuarat perniagaan meja bulat dengan tokoh-tokoh industri Thailand.
Perdana Menteri dan juga lain-lain menteri, akan mengambil bahagian dalam tiga pertemuan, yakni pertemuan pemimpin-pemimpin ASEAN dengan perwakilan Persidangan Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), pertemuan pemimpin-pemimpin ASEAN dengan perwakilan Belia ASEAN, serta pertemuan pemimpin-pemimpin ASEAN dengan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC).
Dr Mahathir juga dijadual mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak ke-13 Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan Sidang Kemuncak ke-12 Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia, Thailand (IMT-GT) yang akan berlangsung pada 23 Jun.
Dengan tema ‘Advancing Partnership for Sustainability’, Sidang Kemuncak Asean Ke-34 itu adalah Sidang Kemuncak pertama diadakan dengan Thailand sebagai pengerusinya tahun ini.
Beberapa isu serantau dan global dijangka mendominasi pertemuan 10 pemimpin ASEAN itu seperti krisis Rohingya, tuntutan kawasan bertindih Laut China Selatan, perang dagang antara China dan Amerika Syarikat serta isu keganasan ekstremisme.