ASEAN 2019: Sekali lagi Tun Mahathir di sebelah Suu Kyi
Harits Asyraf Hasnan
Jun 23, 2019 16:33 MYT
Jun 23, 2019 16:33 MYT
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menghadiri Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34 yang berlangsung di sini.
Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayuth Chan-o-cha yang merupakan Pengerusi ASEAN menyampaikan ucapan pembukaan pada majlis tersebut.
Kemuncak majlis tersebut adalah sesi bersalaman ASEAN oleh ketua-ketua negara dan kerajaan 10 negara anggota kesatuan Asia Tenggara itu.
Dr Mahathir dilihat berdiri di penghujung kiri pentas, bersebelahan Kaunselor Myanmar, Aung San Suu Kyi.
Para pemimpin sebelum itu menyempurnakan pelancaran Gudang Satelit di bawah Sistem Logistik Kecemasan Bencana ASEAN (DELSA) yang terletak di Wilayah Chainat, Thailand.
Gudang di wilayah utara Thai itu akan membantu ASEAN dan Pusat Koordinasi Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre) di Indonesia bertindak lebih efektif bagi memobilisasi dan pengagihan bantuan kepada negara di sebelah utara ASEAN yang mengalami bencana.
Prayuth berpandangan gudang satelit itu bakal memperkukuhkan lagi respons bersama di bawah inisiatif ‘One ASEAN, One Response’.