ASEAN 2019: Belum bertemu Suu Kyi, Tun Mahathir 'buka mulut' selamatkan Rohingya

Harits Asyraf Hasnan
Jun 22, 2019 09:58 MYT
Tun Mahathir sekali lagi mengulangi seruannya kepada pemimpin blok Asia Tenggara itu untuk menghentikan penindasan terhadap minoriti tersebut yang diusir oleh pentadbiran Aung San Suu Kyi. - Gambar fail/Astro AWANI
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berikrar untuk membantu etnik Rohingya yang kini mendapatkan perlindungan di Malaysia.
Walaupun belum secara rasmi bertemu pemimpin ASEAN, beliau sekali lagi mengulangi seruannya kepada pemimpin blok Asia Tenggara itu untuk menghentikan penindasan terhadap minoriti tersebut yang diusir oleh pentadbiran Aung San Suu Kyi.
"Mereka adalah pelarian, seberapa banyak yang boleh kita lakukan untuk mereka. Kami harap ada sesuatu yang boleh dilakukan untuk menghentikan penindasan Rohingya," memetik laporan AFP.
Mengimbas Sidang Kemuncak ASEAN Ke-33 yang berlangsung di Singapura tahun lalu, Dr Mahathir dengan lantang mengutuk pentadbiran Suu Kyi yang bertindak mempertahankan tindakan keras tenteranya terhadap Rohingya.
Kritikan secara terbuka terhadap Suu Kyi itu dilihat di luar norma pertemuan 10 negara, yang biasanya enggan mencetuskan sebarang konfrontasi.
Namun, Dr Mahathir dilihat jelas tidak mampu untuk menutup mata dan mulutnya lantaran kegagalan Suu Kyi hingga memaksa pelarian Rohingya kini terdesak meninggalkan tanah air mereka, merentasi laut menuju Malaysia serta beberapa lagi negara anggota ASEAN seperti Thailand dan Indonesia.
Perjanjian supaya etnik itu kembali ke Myanmar dilihat menemui jalan buntu lantaran tiada jaminan keselamatan.
Pertemuan di Bangkok secara rasmi hari ini kini tertumpu kepada isu penghantaran pulang semula etnik tersebut yang dijangka dapat dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.
#ASEAN #Aung San Suu Kyi #Bangkok #Indonesia #keselamatan #Mahathir Mohamad #Malaysia #Myanmar #pelarian #Perdana Menteri #Rohingya #Singapura #Thailand
;