'Asal nak raya, barang naik harga. Sampai bila?' - Dialog Tiga Penjuru, 8.30 malam ini
Israr Khalid
April 7, 2022 18:30 MYT
April 7, 2022 18:30 MYT
'ASAL nak raya', harga barang naik. Sampai bila keadaan ini akan terus berlaku?
Umum memahami yang kini kita sudah memasuki fasa pemulihan, semua orang sedang berusaha untuk bangkit daripada tersungkur dua tahun dek pandemik COVID-19, dan aktiviti ekonomi kembali mengorak langkahnya.
Namun bagaikan tidak insaf daripada dugaan besar yang diturunkan tuhan, masih ada peniaga yang tidak berhati perut, hilang timbang rasa, pentingkan diri, mahu kaya cepat dengan mengambil kesempatan atas situasi semasa.
Ketika permintaan tinggi, para ‘lintah’ ini meletakkan harga barangan jualan mereka pada kadar yang tidak munasabah. Mereka cukup yakin, orang tetap akan beli barangan mereka walaupun harganya tinggi memandangkan musim perayaan semakin menghampiri.
Mahu tidak mahu, pengguna terpaksa menghadapinya. Namun, adakah pengguna memang tidak punyai kuasa atau ada jalannya untuk menghentikan satu bentuk penindasan ini?
Pengguna harus bijak dan harus bersama dalam hal ini. Saluran aduan kepada pihak berkuasa ada, jangan hanya hebah di media sosial sahaja.
Aduan yang kena dan tepat dengan caranya, seperti memberi butiran lengkap tentang penjual yang ‘cekik darah’ kepada pihak berkuasa dapat membantu mereka menjalankan tindakan sewajarnya dan sesegera mungkin.
Kerajaan sudah memainkan tanggungjawabnya, Op Pantau telah dilancarkan dan menunjukkan kesan apabila sudah ada peniaga tamak diambil tindakan dan kita sebagai masyarakat harus bersama dalam usaha ini.
Sebagai peniaga pula, rasa empati harus ada. Bertimbang rasalah dengan anggota masyarakat yang lain yang ada sebahagiannya masih bergelut untuk mencari sesuap nasi.
Orang tamak selalu rugi, bagai anjing dengan bayang-bayang. Takut yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
Namun andai masih wujud peniaga yang buta dan benak walau dilancarkan apa bentuk kempen dan operasi sekalipun, apa yang pengguna boleh lakukan?
Kita bicarakan hal ini di pentas Dialog Tiga Penjuru minggu ini bersama tiga panel jemputan; Datuk Muhammad Abdullah, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM); Datuk Nadzim Johan, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM); dan Datuk Jawahar Ali Taib Khan, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA).
Malam ini jam 8.30, tidak lain di saluran 501 dan astroawani.com.