'Asal jadi duit, kami akan kerja' - Pesawah

Hilal Azmi
Mei 1, 2018 14:43 MYT
Along serta keluarga mahu pemimpin yang dekat dengan rakyat malah mudah untuk didekati. - Astro AWANI
Menelusuri Jalan Jitra-Kodiang, kita akan dihidangkan dengan hamparan jelapang padi yang saujana mata memandang.
Di sini letaknya Parlimen Jerlun yang menaungi dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu DUN Kota Siputeh dan DUN Ayer Hitam.
Dengan rekod seramai 54,132 pemilih, Parlimen ini menjadi tumpuan ramai pihak kerana ekosistem politiknya yang penuh rencam.
Ketika singgah di Pekan Kodiang, kami mendapati harga barangan basah di sini jauh lebih murah jika dibandingkan dengan harga ikan di pasar lain.
“Mai mai!!! (Ikan) termenung sekilo empat ringgit.. sekilo empat ringgit..,” jerit salah seorang penjual.
Akan tetapi mata kami tertumpu kepada salah seorang penjual ikan lampam dan belida kerana pernah berjumpa di salah sebuah kedai kopi sebelum ini.
“Macam mana boleh jual ikan pulak?” Tanya saya kepada Along atau nama sebenarnya Mohd Shukor Mustafa.
“Ala... Macam ni la kami ni, time takda buat apa, kami tahan pukat la nak cari duit paket (poket),” jawabnya ringkas.
Along merupakan anak sulung daripada tiga beradik. Sudah punya dua anak, manakala isterinya pula suri rumah berasal dari Kelantan.
Bapanya seorang pesawah manakala ibunya pula menjalankan perniagaan menjual nasi lemak dan nasi campur untuk makan tengah hari di depan rumah.
Pertemuan itu berlanjutan sehingga Along selesai menjual ikan di Pasar Kodiang. Seterusnya, kami bersarapan di gerai ibunya kira-kira 3 kilometer dari pekan.
“Lepas keluar ILP (Institut Latihan Perindustrian), tak ada kerja, Along buat kerja (sawah) padi dan tahan pukat.
“Padi tu kan pendapatan (hanya dapat diraih) enam bulan sekali. Sementara nak boleh dapat duit padi tu, kita tahanlah pukat untuk (dapat) duit sampingan,” terang Along sambil menghirup teh 'O' panas.
Berbaloikah kegigihan ini?
Ketika ditanya mengenai jerih payah orang yang menjalankan lebih daripada satu pekerjaan, Along tenang menyusun jawapan berdasarkan pengalamannya.
“Macam Along, bukan takat (setakat) satu kerja saja.
"Melainkan pesawah ada banyak tanah dan dia boleh tumpu kat situ saja.
"Macam Along ni, bendang buat sikit. Itu pun sewa. Memang takkan cukup duit dari kerja bendang. Maka, kenalah buat kerja lain juga," jelasnya.
Along mengakui, dalam soal kerja, dia hanya 'tangkap muat'. Asalkan boleh mendatangkan pendapatan, dia akan lakukan.
"Kalau kemarau lama, pukat pula tak jalan, buat rumah pun boleh. Asalkan jadi duit," ulangnya lagi.
Menurut Along, menjadi nelayan sungai bukanlah semudah yang disangka kerana pendapatannya juga bergantung kepada rezeki.
“Macam kami ni kerja tiga orang.
“Pernah dapat naikkan ikan seperti jelawat dan siakap. Secara purata dapatlah RM165 seorang.
Time tak ada apa tu biasanya boleh (berbahagi), dan seorang akan dapat antara RM40 atau RM50 seorang,” jelas Along.
Apabila ditanya kenapa tidak cuba menjadi nelayan laut, Along mengakui, dia tidak tahan dengan keadaan tersebut dan mudah mabuk laut.
Sebaliknya, dia sudah terbiasa dengan ekosistem sungai yang terhubung secara simbiosis dengan fitrah kerjanya sebagai seorang pesawah.
Berdasarkan cerita Along, dengan pendapatan yang dibawa pulang itu, sama ada sedikit atau banyak, kira-kira 60 peratus daripadanya akan dibelanjakan untuk membeli barangan dapur.
Sentimen yang sama turut dialami oleh ramai lagi penduduk di kawasan tersebut, dan mereka mengharapkan ada jalan untuk memperoleh pendapatan yang lebih menjanjikan keselesaan.
Bagi kumpulan pemilih di Jerlun yang membentangkan harapan mereka seluas bendang sawah ke kanvas langit, ada satu perkara yang mereka mahukan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.
Mereka mahukan pemimpin yang mudah didekati dan mendengar cerita mereka. Biasanya, individu yang sering bersama mereka dan memahami situasi, tidak sukar untuk diangkat sebagai wakil rakyat di situ.
Sekurang-kurangnya, kuasa memilih dan kesempatan itu akan mereka manfaatkan pada 9 Mei nanti.
BACA: Ke mana hala tuju industri padi pasca PRU14?
#2kerja #DUN #iltizam #Jerlun #kos sara hidup #MalaysiaMemilih #masa depan #modal insan #Parlimen #pekerjaan #pesawah #petani #politik #PRU14
;