"Arwah seorang yang baik hati" - Rakan-rakan Nassier Wahab mengenang pemergiannya

Saharudin Musthafa
Disember 5, 2019 14:22 MYT
Nassier Wahab meninggal dunia sekitar pukul 12.45 pagi Khamis di Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), Petaling Jaya.
AIR mata Azlina Aziz tumpah secara tiba-tiba ketika wartawan Astro AWANI mendekati beliau dan mengajaknya berkongsi pengalaman bersahabat dengan Allahyarham Datuk Nassier Wahab.
Kesedihan tidak mampu dikawal lagi oleh penyanyi wanita yang juga rakan seangkatan Allayarham Nassier sekitar tahun 80-an itu.
Semasa era populariti program hiburan terbitan RTM, Mekar Sejambak, Azlina dan Nassier merupakan antara pasangan yang sering menghiasi dada-dada akhbar dan majalah.
Allahyarham Nassier disifatkan Azlina, merupakan satu-satunya artis lelaki yang sentiasa mementingkan penampilan diri dalam apa situasi sekalipun.
"Seorang yang baik hati," itu yang dirumuskan Azlina mengenai sahabatnya yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 57 tahun.
Bagi vokalis utama Lefthanded, Datuk Nash pula, persahabatan lebih dua dekad dengan Nassier sesuatu yang amat berharga untuk disimpan dalam kotak fikirannya.
Nassier, katanya, pergi membawa bersama kenangan indah yang mereka kongsi termasuk sering bergurau, bertanya khabar dan berkongsi pengalaman hidup.
Berita pemergian Nassier merupakan kedukaan yang mendalam buat rakan duetnya, Ramlah Ram.
"Macam mimpi (pemergian Nassier). Masih terbayang senyum, gelak dan guruan beliau... rasa macam tak percaya," kata Ramlah yang pernah merakamkan lagu duet Susah Senang Kita Bersama dengan Allahyarham Nassier.
BACA: Datuk Nassier Wahab meninggal dunia
#kanser #meninggal dunia #Nassier Wahab #penyanyi
;