Arwah sempat ucap selamat hari lahir kepada ibu
Bernama
November 14, 2019 09:57 MYT
November 14, 2019 09:57 MYT
Inspektor polis yang maut ketika menyertai konvoi motosikal di Pekan, Pahang, pagi semalam, sempat menelefon ibunya dan mengucapkan selamat hari lahir kepadanya malam Selasa lepas.
Inspektor Muhammad Hilmie Quzaimi Rosli, 26, yang bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Trafik di Bachok, Kelantan, yang menyertai Konvoi Kursus Asas Menunggang Motosikal Berat Kelas B (KAMMB) maut akibat kemalangan di Kilometer 51, Jalan Kuantan-Segamat dalam kejadian pada 11.05 pagi itu.
Ibunya, Ruziah Jaini berasa terkilan kerana tidak dapat melayan perbualan anak sulungnya itu menerusi panggilan telefon bimbit.
"Dia mengucapkan selamat ulang tahun ke-48 kelahiran tetapi saya tidak dapat melayan sepenuhnya kerana terlalu lama berbual.
"Arwah tetap mahu berbual dan berulang-ulang kali minta saya doakan untuk dirinya," katanya penuh hiba kepada Bernama.
Wanita itu tidak menduga perbualan bersama anak sulungnya itu adalah kali terakhir.
Sementara itu, nenek Allahyarham, Fatimah @ Hamidah Kalam, 75, mengakui amat terkejut sejurus menerima berita kematian cucu keenamnya itu.
Malah katanya, seluruh keluarga amat terasa kehilangan Muhammad Hilmie, yang baru menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Jun lepas.
"Allahyarham tinggal bersama kami sejak bersekolah darjah satu. Sebelum ini dia sudah bekerja swasta dan bergaji lumayan tetapi berhenti kerana amat meminati kerjaya kepolisian," ujarnya.
Menurut Fatimah, Muhammad Hilmie yang baru berkahwin dengan Norliyana Nordin, Ogos lepas memang rapat dengan keluarga serta seorang yang amat bertanggungjawab.
Tambahnya, kali terakhir mereka bertemu pada cuti Deepavali yang lalu.
Dia juga membiayai enam adik-adiknya yang masih belajar dan bersekolah.
Jenazah Muhammad Hilmie selamat dikebumikan pada 11.15 malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Felda Air Tawar 1.
Jenazah Allahyarham yang telah siap dikafankan dibawa dengan kenderaan jenazah Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pahang dari Hospital Pekan pukul 6 petang dan tiba pada 9.43 malam di rumah datuknya, Mohd Ani @ Jaini Md Deris di Felda berkenaan.
Hampir 200 penduduk menghadiri majlis pengebumian tersebut termasuk wakil Komandan Maktab PDRM Bakri Inspektor Mazlan Adam, serta anggota PDRM dari Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan, Pahang dan Kota Tinggi.
-- BERNAMA
#anak sulung
#Bachok
#ibu
#inspektor polis
#Jalan Kuantan-Segamat
#jenazah
#KAMMB
#kemalangan
#konvoi
#maut
#Motosikal Berat
#Muhammad Hilmie Quzaimi Rosli
#Pekan
#polis
#Ruziah Jaini
#selamat hari lahir
#selamat ulang tahun