Arwah Mohd Shahrulnizam nampak kuat dan bersemangat awal ekspedisi-rakan

Bernama
Jun 11, 2013 08:13 MYT
Allahyarham Mohd Shahrulnizam Ahmad Nazari yang meninggal dunia akibat penyakit akut gunung (AMS) semasa dalam perjalanan ke Everest Base Camp 3 Jun lepas tidak menunjukkan sebarang tanda serangan penyakit itu semasa di awal ekspedisi malah kelihatan kuat dan bersemangat, kata
rakannya.
Siti Nurul Azzwa Tamjis, 29, salah seorang peserta ekspedisi mendaki Gunung Pathar dan Everest Base Camp di Kathmandu, Nepal itu berkata, mereka sekumpulan tidak menyangka arwah akan mengalami AMS yang serius kerana fizikalnya yang memang nampak kuat.
"Kami semua mengalami AMS, cuma arwah sahaja yang paling teruk. Kami saling menjaga satu sama lain ketika mengalaminya pada ketinggian melebih paras 2,600 meter dari aras laut," katanya kepada pemberita ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini bersama 10 lagi peserta lain kira-kira pukul 7 malam ini.
Mohd Shahrulnizam, 25, penolong jurutera Perbadanan Putrajaya (PPj) meninggal dunia ketika di Labuche, semasa dalam perjalanan ke Everest Base Camp, dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Belah, Klang, Khamis lepas.
Ekpedisi yang bermula pada 27 Mei itu disertai 14 pendaki (11 lelaki dan tiga wanita) yang mewakili Kelab Rekreasi Sukan dan Kebajikan PPj.
Siti Nurul Azzwa berkata beliau memang rapat dengan arwah semasa latihan persediaan sebelum menyertai ekspedisi itu dan menganggap insiden berkenaan sebagai pengalaman paling pahit dan sedih yang tidak boleh dilupakannya.
Penolong Pegawai Tadbir PPj itu berkata, walaupun ekpedisi ke Everest Base Camp gagal namun kejayaan mendaki Gunung Pathar didedikasikan kepada arwah Mohd Shahrulnizam.
Sementara itu seorang lagi peserta, Jeffry Mustafa, 45, berkata kehilangan arwah Mohd Shahrulnizam amat dirasakan, terutama sebaik menjejakkan kaki di tanah air.
"Kita bersama-sama saudara Nizam (Mohd Shahrulnizam) semasa beliau mula sakit dan kita semua satu tim sangat sedih, susah nak cakap dan kami masih terasa kehilangannya," katanya dalam nada sebak.
Beliau yang juga Penolong Pengarah Kanan, Unit Sukan Jabatan PPj berkata sebelum berangkat ke Kathmandu, mereka sekumpulan telah mendapat latihan selama lima bulan dalam aspek kecergasan dan peserta ekspedisi itu merupakan dari kalangan mereka yang terpilih sahaja.
#Gunung Everest #Mohd Shahrulnizam Ahmad Nazari #Siti Nurul Azzwa Tamjis
;