'Arwah mak selalu pesan supaya kerap ziarah orang susah' - Sanusi

Adie Sufian Zulkefli
Ogos 15, 2024 16:35 MYT
Muhammad Sanusi (tengah) ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Sungai Pau di sini, pada Khamis. - Gambar/ Astro AWANI
SIK: "Arwah mak selalu pesan supaya selalu ziarah orang susah," demikian kongsi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengenai pesanan ibunya Meriam Ahmad, 74, yang meninggal dunia hari ini.
Menurutnya, kali terakhir beliau bertemu ibunya adalah minggu lalu disebabkan 'tergerak hari' untuk pulang ke kampung.
"Waktu itu saya tergerak hati untuk balik kampung. Jadi tiga kali saya balik kampung (minggu lalu) berbanding biasa hanya sekali seminggu.
"Kerana sibuk saya jarang balik... baru-baru ini nampak arwah mak sihat sahaja. Sejak saya jadi Menteri Besar, arwah mak selalu supaya selalu (kerap) ziarah orang susah.
“Ayah saya Md Nor Taib (83) kata minggu itu arwah kait buah rambutan nak bawa pergi rumah anak di Kuala Lumpur, kemudian dia ajak cucu makan mi di Tanjung Dawai.
"Ayah saya kata dia cergas luar biasa, mungkin itu tanda-tanda dia hendak pergi selamanya. Selepas mak meninggal baru ayah perasan," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Sungai Pau di sini, pada Khamis.
Muhammad Sanusi merupakan anak ke tujuh daripada 13 beradik berkata, ibunya seorang yang suka bergurau namun tidak pernah lupa menasihati anak-anak.
Terdahulu Meriam dilaporkan meninggal dunia pada jam 9.40 pagi tadi akibat masalah jantung.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas tiga hari menerima rawatan.
Muhammad Sanusi berkata ibunya pergi dalam keadaan tenang dan semua adik beradiknya berada disisi ibu mereka pagi tadi.
Katanya, ibunya tidak mempunyai penyakit lain kecuali masalah jantung sehingga menyebabkan arwah terkena strok dan rebah Isnin lalu.
"Ketika dia rebah abang saya sempat sambut dan terus dibawa ke Hospital Sik dan ditidurkan sebelum di bawa ICU HSB pada hari yang sama," katanya.
Muhammad Sanusi yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berkata solat jenazah ibunya akan diadakan di Masjid al Ubudiah Sungai Pau di sini selepas asar dan dikebumikan di tanah perkuburan kampung berkenaan.
#Muhammad Sanusi Md Nor #ibu #meninggal dunia #pesan ibu
;