“Arwah, isteri saya yang sah” - Suami mangsa tikam
Dewi Nur Harasha Alias
November 8, 2024 07:00 MYT
November 8, 2024 07:00 MYT
GEORGE TOWN: Sudahlah kesedihan kehilangan isteri yang dibunuh secara kejam masih bersarang dalam dirinya, kecewaan Mohamad Shazwan Hafizi Badrul Kamal juga bertambah berganda apabila ada yang mendakwa, dia dan Allahyarham Siti Zulaila Zulkifli bukan lagi suami isteri.
Kata Mohamad Shazwan Hafizi, dakwaan segelintir pihak yang dia dan Siti Zulaila bukan lagi pasangan suami isteri amat menghiris perasaannya.
"Sedih sebenarnya apabila ramai yang cakap fitnah arwah isteri saya ini janda.
“Tak betul (dakwaan) itu, saya masih suaminya yang sah… dakwaan tidak sepatutnya itu membuatkan kami sekeluarga sangat terkesan," luah Mohamad Shazwan yang berusia 30-an kepada wartawan selepas pengebumian jenazah isteri dan bapa mentuanya, Zulkifli Ibrahim, di Tanah Perkuburan Kariah Tanjong Tokong, di sini, malam tadi.
Tegas Mohamad Shazwan Hafizi, dakwaan isterinya seorang janda yang dilemparkan tidak benar sama sekali.
Sebelum itu, jenazah Siti Zulaila dan bapanya yang maut ditikam dengan pisau oleh seorang lelaki di hadapan lif di pangsapuri di Bandar Baru Ayer Itam, di sini, dikebumikan sekitar pukul 10 malam tadi.
Jenazah kedua-dua beranak itu disemadikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan itu.
Suasana hiba di tanah perkuburan apabila ahli keluarga, saudara mara serta sahabat handai kedua- dua beranak hadir memberikan penghormatan terakhir .
Terdahulu, jenazah dua beranak itu disembahyangkan kira-kira 300 jemaah terdiri daripada ahli keluarga, rakan serta penduduk di Masjid Tuan Guru.
Mengulas lanjut, Mohamad Shazwan Hafizi menyatakan harapan suspek dikenakan tindakan mengikut lunas undang-undang atas perbuatan kejamnya terhadap isteri dan bapa mentuanya.
“Kepada pelaku (suspek) saya harap pihak berwajib kenakan tindakan undang-undang terhadap dia,” katanya.
Jenazah kedua-dua mangsa dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) kira-kira jam 7.20 malam Jumaat selepas menjalani proses bedah siasat..
Dalam kejadian tengah hari Khamis, Allahyarham Siti Zulaila dan Allahyarham Zulkfili maut ditikam dengan pisau oleh seorang lelaki dipangsapuri berkenaan.
Ketika kejadian, mangsa baru pulang dari tempat kerja ditikam suspek yang kemudian turut menikam bapa mangsa yang cuba meleraikan pertengkaran antara mereka.
Suspek kemudian bertindak mengelar dan menikam dirinya beberapa kali sebelum dia dikejarkan ke HPP untuk rawatan lanjut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, suspek direman selama tujuh hari hingga 14 November (Khamis) depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, keadaan suspek berusia 32 tahun yang kini dirawat di HPP berada dalam keadaan stabil.