'Arwah hanya berkurung dalam bilik ketika pulang kampung'

Dewi Nur Harasha Alias
September 4, 2020 00:38 MYT
Keluarga arwah mengadakan majlis tahlil di rumah keluarganya di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, malam tadi.
Guru yang maut dalam kemalangan di Miri, Sarawak kelmarin, hanya berkurung dalam bilik ketika pulang ke kampungnya di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang minggu lalu.
Nur Anisah Othman, 29, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Lio Mato, Baram, Sarawak pulang ke kampung seorang diri berikutan suaminya bekerja di sebuah bank di Kuala Lumpur.
Bapanya, Othman Darus, 62, memberitahu anak keduanya itu seorang yang ceria dan sering menghiburkan keluarga tetapi kelihatan berubah apabila hanya berkurung dalam bilik ketika pulang ke kampung sempena cuti peristiwa 24 Ogos lalu.
"Dia balik terus tak mahu keluar dari bilik. Dia keluar pergi pasar saja sekejap, lepas itu balik.
"Selalunya bila keluar dia gembira, ceria tapi (kali ni) dia berkurung dalam bilik... dia sembang dengan mak dia, dia kata lebih kuranglah... dia hendak ajak pergi melancong ke Pulau Pangkor.
"Dia memang suka suka melancong...," katanya yang kelihatan sebak ketika menceritakan kejadian menimpa anak perempuan tunggalnya itu.
Katanya, Nur Anisah baru berkahwin setahun lalu dan belum dikurniakan zuriat.
Walaupun reda dengan kejadian itu, Othman mengakui agak terkilan kerana sebelum ini pernah meminta anak keduanya itu memohon untuk bertukar ke Semenanjung kerana sudah enam tahun mengajar di Sarawak tetapi gagal.
"Ini masuk tahun yang keenam di Sarawak. Saya minta (dia) tukar banyak kali tapi tak dapat... orang lain dua tiga tahun dapat tukar, anak saya tak dapat," katanya.
Nur Anisah maut manakala tiga rakannya ceedra selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam gaung di Kampung Long San kira-kira 220 kilometer dari Miri dalam kejadian jam 4.30 petang.
Mereka terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke sekolah selepas tamat tempoh kuarantin di sebuah hotel.
#anak #gaung #guru #hotel #keluarga #kemalangan #Miri #sekolah #terjunam
;