Arwah Fairuz pesan jaga syarikat, keluarga sebelum meninggal dunia - Adik
Bernama
Mei 3, 2015 08:01 MYT
Mei 3, 2015 08:01 MYT
'Arwah pernah berpesan dan amanahkan kepada saya dan adik-beradik supaya menjaga isteri, anak-anaknya serta syarikat miliknya setelah dia meninggal dunia," kata adik bongsu Allahyarham Fairuz Nizam Husain, 35, yang maut dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di Km 6.2 Lebuhraya DUKE, di sini.
Muhammad Faizznur Asyraf Husain, 25, berkata itulah pesan terakhir arwah abangnya dua minggu lalu sebelum terlibat dalam nahas, pada awal pagi tadi.
Beliau berkata kemalangan itu berlaku selepas arwah menghantar dua anaknya iaitu yang sulung Nur Firuza Amira, 7, dan kedua, Nur Firuza Aqila, 4, di rumah nenek mereka di Putrajaya.
"Arwah sekeluarga (berlima) sempat menghadiri sebuah majlis perkahwinan di Putrajaya bersama dua lagi anaknya sebelum terlibat kemalangan.
BACA JUGA : Kemalangan Duke: Netizen luah rasa berang
"Selepas menghantar dua anak arwah ke rumah nenek, arwah balik bertiga dengan isteri dan anak ketiga mereka," katanya ketika ditemui Bernama di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, di Taman Batu Muda hari ini.
Muhammad Faizznur berkata sebelum kejadian itu arwah yang memiliki sebuah syarikat pengurusan acara di Bangi, banyak mendiamkan diri.
Fairuz Nizam, 35, dan isteri Nova Safitri Azhari, 25, serta bayi perempuan Nur Firuza Annisa, berusia tujuh bulan maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan pada 1.05 pagi.
Kereta Pajero yang dipandu Fairuz Nizam, yang berada di lorong tengah dipercayai digesel dari sebelah kanan oleh sebuah kereta Myvi, lalu terbabas ke sebelah kiri sebelum dilanggar sebuah lagi kereta Myvi yang berada di lorong kiri. Akibatnya, kereta Pajero itu berpusing beberapa kali dan menyebabkan mereka tercampak di atas jalan.
Sementara itu, Razali Khamis, 49, bapa saudara Allahyarhamah Nova Safitri memohon pihak berkuasa menggandakan rondaan terutama di lokasi panas seperti lebuh raya yang berpotensi dijadikan litar perlumbaan haram.
"Saya memohon kepada polis untuk menyiasat punca kemalangan tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya kerana ia boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain," katanya.
Rakan karib kepada kedua-dua arwah, Zaiful Hadi Abd Razak, 35, berkata arwah merupakan seorang yang baik dan sering memberi peluang untuk menyatukan sahabat-sahabatnya yang lain.
"Saya kenal mereka (arwah) sejak kecil lagi dan ketika kenduri kahwin hari itu arwah kurang bercakap dengan rakan-rakan yang lain... namun sebelum pulang arwah sempat memohon untuk mengambil gambar beramai-ramai sebagai kenangan," katanya.