'Arwah emak pesan, jaga adik elok-elok'

Hasimi Muhamad
April 25, 2021 09:09 MYT
Khairul Anuar memikul tanggungjawab penuh menjaga adiknya, Nurul Haida selepas kematian kedua ibu bapanya. - Astro AWANI
HULU LANGAT: Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.
Namun kasih sayang seorang abang kepada adik kandungnya yang terlantar sejak lahir, nyata tidak berbelah bahagi.
Walaupun hidup dalam serba kekurangan, bagi Khairul Anuar Radzuan, tanggungjawab menjaga adiknya, Nurul Haida, akan tetap digalas sehingga hujung nafasnya.
Jauh sekali untuk mengeluh, lelaki berusia 41 tahun ini mengganggap ia sebagai satu ujian yang perlu ditempuhi.
Jika dulu ibu bapa menjadi tempat bergantung harap buat dua beradik ini, namun semuanya berubah selepas ibu bapa tercinta pulang dijemput Illahi.
Bapanya, Radzuan Nordin, 67 tahun, meninggal dunia pada 7 Mac tahun lalu akibat kegagalan hati.
Lebih kurang 10 bulan selepas itu, dua beradik ini sekali diuji apabila ibunya, Kamariah Md Noor, 63 tahun, pula kembali kepada Sang Pencipta akibat paru-paru berair.
Sejak detik itu, Khairul Anuar terpaksa berhenti kerja sebagai pemandu lori dan pulang ke pangkuan adiknya.
“Alhamdulillah, sebelum ini pun hampir dua tahun sejak emak saya kurang sihat, saya sudah mula bantu jaga dia (Nurul Haida).
“Jadi, saya tiada rasa macam terkejut sangat. Lagi satu, saya tak pernah duduk di luar, memang duduk dengan keluarga. Jadi, saya nampak dengan mata saya sendiri macam mana emak saya uruskan dia.
"Alhamdulillah, daripada pengalaman itu saya gunakan untuk jaga adik sekarang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampong Pak Chat Pekan Batu 14, di sini, pada Sabtu.
Melalui episod pilu ini, Nurul Haida, 38 tahun, memerlukan pemerhatian dan penjagaan rapi sejak dia mengalami mati otak seawal usia dua bulan.
Dia hanya terlantar di atas tilam dan tidak boleh bergerak ke mana-mana jika tidak dibantu termasuk makan dan minum.
Lebih membimbangkan, dua atau tiga kali sehari Nurul Haida akan diserang sawan.
Paling teruk, sehingga tujuh kali sehari.
Hanya Khairul Anuar dan arwah ibu bapanya sahaja yang tahu karenah untuk menjaga Haida.
Bahkan, dia yang masih bujang menegaskan tidak akan sesekali menyerahkan adiknya itu kepada orang lain.
“Tiada orang yang mampu jaga adik saya. Dia ada cara dia, cara bagi makan, cara minum dan cara nak menguruskan lampin pakai buangnya.
“Lagi satu dia perempuan jadi saya kena cari mahram dia, saya tak boleh suka-suka bagi orang,” ujarnya lagi.
Ketika ditemui, raut wajah Khairul Anuar langsung tidak menunjukkan rasa putus asa.
Apa yang meniti di bibirnya, hanyalah ungkapan reda dan percaya kepada ketentuan Illahi.
Pesanan terakhir arwah ibunya menjadi sumber kekuatan untuk Khairul Anuar terus berbakti kepada adik kesayangannya itu.
“Di hospital sebelum emak saya meninggal dunia, emak pesan, janji adik saya sihat, dia (arwah) dah senang hati. Dia suruh jaga adik elok-elok.
“Kalau kita percaya Allah, Allah sebaik-baik perancang. Jadi saya reda dengan apa-apa pun,” katanya sambil menahan sebak.
Malah, soal jodoh juga, Khairul Anuar menyerahkannya kepada Allah jika suatu hari nanti hadir seorang wanita yang sanggup berkongsi susah dan senang bersama.
Namun sebagai anak lelaki, dia tidak mahu terus hidup mengharapkan belas kasihan saudara mara dan masyarakat.
“Itu benda pertama (soal kerja) yang kita fikir. Dan benda terakhir ialah, reda dan berserah kepada Allah.
“Perkara itu yang pertama sekali saya fikir sejak berpuluh tahun dulu, sebelum benda ini semua berlaku,” tambahnya.
Setiap hari, Khairul Anuar hanya mampu menadah tangan memohon agar Yang Maha Esa tidak menjemputnya pulang ke negeri abadi.
Ketika ini, Nurul Haida memerlukan bantuan keperluan asas seperti makanan dan minuman serta lampin pakai buang.
Untuk mengisi perut pula, dua beradik ini bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima sebanyak RM350 sebulan.
Selain itu, terdapat juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak masjid Kampong Pak Chat Pekan Batu 14 yang turut menyalurkan sumbangan.
Orang ramai yang ingin meringankan beban Khairul Anuar dan adiknya boleh menyumbang ke akaun Bank Islam di nombor 12-092-02-325215-1 atau RHB di nombor 11216100150746.
#NGO #jkm #Islam #OKU #OKU terlantar #Kasih abang kepada adik #Khairul Anuar Radzuan #Nurul Haida Radzuan #mati otak
;