Arwah Dollah Cantek miliki sifat humor ketika bekerja - Eric Floor 88

Faida Rahim
April 14, 2024 21:23 MYT
Eric Fuzi menyifatkan Allahyarham memiliki sifat yang menyenangkan orang sekeliling dan sentiasa ceria, periang dan mampu mengawal mood orang di sekeliling. - Gambar Astro AWANI
GOMBAK: Pengacara dan juga bekas pengurus pentas program-program terbitan Astro, Dollah Cantek selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sg Pusu Gombak pada Ahad.
Anggota kumpulan Floor 88 yang juga pemain keyboard, Eric Fuzi menyifatkan Allahyarham memiliki sifat yang menyenangkan orang sekeliling dan sentiasa ceria, periang dan mampu mengawal mood orang di sekeliling.
“Saya kenal arwah dari kecil lagi. Kalau floor manager di Astro itu arwah di antara yang terawal membawa cara kerja yang memiliki unsur humor.
“Tak stress kerja dengan dia. Dia sangat respect orang, dia sangat baik,” katanya kepada Astro AWANI.
Allahyarham Dollah atau nama sebenarnya Abdullah Ibrahim menderita penyakit kencing manis sejak beberapa tahun lalu menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Sentul Point Suit Apartment, Kuala Lumpur, pada jam 8.40 pagi semalam.
Semasa hayatnya, Dollah berkhidmat dengan stesen televisyen berbayar, Astro, sebelum mengorak langkah sebagai pengacara dan pernah membintangi filem terakhir karya Allahyarham Mamat Khalid iaitu Kampong Pisang Berbuah Dua Kali.
#Mamat Khalid #Dollah Cantek #kencing manis #unsur humor
;