Arul Kanda tidak tahu dana 1MDB beli barang kemas Rosmah
Bernama
Januari 14, 2025 21:56 MYT
Januari 14, 2025 21:56 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini beliau tidak mempunyai pengetahuan peribadi mengenai wang dana syarikat itu digunakan untuk membeli barang kemas Datin Seri Rosmah Mansor bernilai AS$1.3 juta.
Arul Kanda berkata demikian apabila peguam 1MDB, Raphael Kok Chi Ren, merujuk kepadanya mengenai aduan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat pada Jun 2017 semasa perbicaraan saman 1MDB berjumlah AS$6.59 bilion terhadapnya dan bekas Pengerusi Lembaga Pengarah, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Kok: Berdasarkan aduan DOJ, wang daripada Blackrock Commodities (Global) Limited digunakan untuk membeli barang kemas untuk isteri Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah.
Arul Kanda: Itu dinyatakan dalam aduan DOJ. Saya tidak mempunyai pengetahuan peribadi.
Menurut aduan DOJ, wang tersebut digunakan untuk membeli 27 kalung emas dan gelang yang berjumlah AS$1.3 juta.
Arul Kanda, yang merupakan defendan pertama, memberitahu mahkamah bahawa wang tersebut digunakan untuk membeli sebuah kapal layar mewah dan hartanah, salah satunya didaftarkan atas nama Kassem Dean, suami penyanyi Alicia Keys.
Ditanya oleh Kok sama ada saksi mempunyai pengetahuan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan rakan sekutunya Eric Tan adalah pemilik benefisial wang lebih AS$200 juta yang didepositkan dalam akaun bank, Arul Kanda berkata: "Saya setuju seperti yang dinyatakan dalam dokumen dalam aduan DOJ."
Pada Mei 2021, 1MDB memfailkan saman terhadap Mohd Irwan serta Arul Kanda, dengan menuduh mereka pecah amanah dan konspirasi yang mengakibatkan kerugian AS$1.83 bilion berkaitan pelaburan syarikat dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd, yang kemudian ditukar menjadi pelaburan Brazen Sky Limited, yang dikatakan boleh diperoleh semula daripada Dana Global Bridge.
1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyalahgunakan dana syarikat bernilai AS$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan AS$1.265 bilion yang dibayar kepada Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa pada 9 Mei 2017.
1MDB mendakwa Mohd Irwan bersubahat dengan Arul Kanda untuk melaksanakan satu lanjutan perjanjian pekerjaan, membayar sejumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda tanpa mengambil kira kepentingan 1MDB, yang mengakibatkan kerugian dan kerosakan kepada syarikat itu.
Akibatnya, 1MDB menuntut ganti rugi AS$6.59 bilion daripada kedua-dua defendan untuk pelanggaran itu, dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan pelanjutan perjanjian pekerjaan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok.
-- BERNAMA