Artis veteran pukul abang ipar direman empat hari
Afiezy Azaman
Mac 25, 2024 13:51 MYT
Mac 25, 2024 13:51 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang artis veteran yang ditahan selepas disyaki memukul abang iparnya di sebuah flat Bandar Tun Razak, Cheras, di sini, direman selama empat hari.
Menurut sumber, penyanyi era 80-an yang pernah menyertai sebuah program realiti itu mula direman hari ini hingga Khamis.
"Suspek dibenarkan reman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut," katanya ringkas kepada Astro AWANI, pada Isnin.
Pagi tadi, Astro AWANI melaporkan artis lelaki yang berusia 64 tahun itu memukul abang iparnya, 41, menggunakan batang besi sehingga menyebabkan kecederaan.
Astro AWANI difahamkan telah berlaku salah faham antara mangsa dan suspek.
"Suspek kemudian bertindak memukul menggunakan besi panjang di bahagian kepala, belakang badan, mata kiri dan bahagian lain mangsa.
"Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami pendarahan di bahagian kepala dan menerima dua jahitan, bengkak mata kiri, lebam di tangan kiri dan luka di tangan kanan," katanya.
Mengulas lanjut, sumber itu berkata, abang ipar kepada artis itu telah membuat laporan polis selepas mendapatkan rawatan di hospital.
Pada tahun 2010, artis veteran ini pernah terpalit kontroversi berhubung perkahwinan yang tidak direstui oleh ibu mertuanya susulan jarak usia antara dia dan isterinya agak jauh.