Artis Malaysia lancar lagu #ThinkTwice di TikTok, pupuk nilai positif dalam talian
Bernama
Disember 3, 2024 09:45 MYT
Disember 3, 2024 09:45 MYT
KUALA LUMPUR: Artis tempatan yang bercita-cita tinggi dan pencipta muzik TikTok Mozi (@mozi4real), baru-baru ini menghasilkan lagu baharu bertajuk #ThinkTwice di platform hiburan dalam talian utama untuk memupuk masyarakat Malaysia yang positif dan budaya selamat dalam talian.
Lagu berkenaan telah mencetuskan satu gerakan semakin berkembang dalam kalangan pencipta TikTok lain antaranya Yimo (@yimotapir) dan Wan (@wananimation) yang menggunakan lagu baharu itu secara kreatif untuk menyebarkan kesedaran tentang pentingnya menjadi baik dan mengambil kira perasaan orang lain ketika membuat hantaran serta komen dalam talian.
Mozi dalam kenyataan hari ini berharap lagu #ThinkTwice dapat mengingatkan semua agar mempunyai sedikit empati, bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga masyarakat yang lebih luas kerana kata-kata mempunyai kuasa.
"Sebagai ahli muzik, saya berdepan dengan pelbagai kritikan, baik dalam talian mahupun di luar. Pengalaman ini menjadi dorongan untuk menghasilkan lagu #ThinkTwice. Ini adalah cara saya menggalakkan semua orang untuk berhenti sejenak dan berfikir sebelum berbicara dalam talian.
"Melihat respons daripada rakan pencipta dan bagaimana mereka telah menggunakan lagu ini untuk menyokong mesej positif adalah sangat memuaskan. Ia menguatkan lagi idea bahawa bersama-sama, kita boleh membina ruang yang lebih menyokong untuk semua orang," katanya.
Lagu berkenaan dicipta dengan kerjasama TikTok Malaysia, sebagai sebahagian daripada kempen literasi digital #ThinkTwice yang dilancarkan pada September tahun ini.
Menerusi kempen #ThinkTwice, TikTok berharap dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia dengan berinteraksi secara langsung bersama komuniti pencipta yang bersemangat untuk menghasilkan kandungan pendidikan mengenai Garis Panduan Komuniti dan ciri keselamatan seperti fungsi Comment Care dan Report.
TikTok turut bekerjasama dengan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), All Women's Action Society (AWAM) dan Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) yang telah memberikan sumbangan kepada kempen #ThinTwice dengan berkongsi petua berguna tentang cara masyarakat boleh melindungi satu sama lain secara proaktif dalam talian.
Untuk maklumat lanjut berkenaan kempen ini, cari tanda pagar #ThinkTwice di aplikasi TikTok bagi mendapatkan pusat sumber yang mengandungi bahan pendidikan dan kandungan. - BERNAMA