Artikel WSJ mengenai dakwaan mengelirukan, kata peguam

Bernama
Julai 14, 2015 01:50 MYT
HAFARIZAM: Surat Penjelasan yang dihantar kepada penerbit WSJ adalah mengikut prosedur undang-undang. - Foto Bernama
Artikel dalam The Wall Street Journal yang mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyelewengkan hampir US$700 juta daripada 1Malaysia Development Berhad adalah mengelirukan, kata peguam beliau Datuk Mohd Hafarizam Harun.
Beliau berkata artikel pertama yang dikeluarkan pada 2 Julai lepas tidak menjelaskan sama ada wang berkenaan daripada 1MDB.
Berikutan dua perenggan pertama seolah-olah wang itu daripada 1MDB namun di perenggan kelima dan keenam pula menyebut 'sumber tidak diketahui', dan ini memerlukan penjelasan, katanya.
BACA: Bank Negara nafi pegawai bocor maklumat kepada WSJ
BACA: Akaun Jho Low menjadi tumpuan dalam siasatan 1MDB, kata WSJ
BACA: Siapa bocor maklumat siasatan kepada WSJ?
Mohd Hafarizam memberitahu pemberita di sini pada Isnin Surat Penjelasan yang dihantar kepada penerbit WSJ adalah mengikut prosedur undang-undang.
Katanya penjelasan perlu bagi pihaknya menasihati anak guam mereka sebaik-baiknya.
Beliau berkata firmanya, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, masih belum menerima sebarang jawapan daripada WSJ berhubung pendirian mereka berkaitan dakwaan dalam artikel yang disiarkan pada 2 dan 6 Julai.
WSJ mempunyai tempoh sehingga Selasa (21 Julai) untuk memberi jawapan kepada surat berkenaan yang dihantar pada 8 Julai lepas, katanya.
Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil selepas WSJ memberi jawapan kepada surat itu, Mohd Hafarizam berkata pihaknya perlu mendapatkan arahan daripada Najib terlebih dahulu.
#1MDB #Mohd Hafarizam Harun #Najib Razak #The Wall Street Journal #WSJ