Artikel itu melukakan hati dan merosakkan reputasi saya - Teresa Kok

Bernama
September 24, 2019 04:51 MYT
KOK: Tujuan halus dan langsung kedua-dua artikel tidak benar itu adalah jelas dan ketara bahawa, antara lain ia ditulis dan diterbitkan dengan niat jahat dan tidak jujur. - Gambar fail
Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa artikel bertajuk "Ucapan YB Ustaz Khalil Benar: DAP Jangan Kurang Ajar" yang disiarkan oleh Ketua Pemuda PAS Selangor Syarhan Humaizi Abdul Halim di Facebook pada 19 Januari lepas, amat melukakan hati dan menjejaskan nama baiknya.
Kok turut merujuk kepada artikel kedua yang berserta tulisan "Teresa Kok Tidak Setuju Islam Agama Rasmi Persekutuan" yang didakwanya dimuatkan oleh defendan (Syarhan) di laman Facebook, yang kemudian disiarkan oleh portal berita Malaysia Today pada 12 Jan.
Kok, 54, yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata beliau merasakan difitnah atau diburukkan oleh kata-kata yang terkandung dalam artikel itu.
"Tujuan halus dan langsung kedua-dua artikel tidak benar itu adalah jelas dan ketara bahawa, antara lain ia ditulis dan diterbitkan dengan niat jahat dan tidak jujur," katanya dalam kenyataan saksi beliau dalam perbicaraan samannya terhadap Syarhan Humaizi di hadapan hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril.
Kok diwakili oleh peguam S.N.Nair manakala Wan Rohimi Wan Daud mewakili Syarhan yang dinamakan sebagai defendan dalam saman itu.
"Saya merasakan bahawa ia mendedahkan saya kepada kebencian, cemuhan atau penghinaan dalam fikiran orang yang munasabah," katanya.
Beliau berkata tindakan defendan itu dan digerakkan oleh kebencian dan atau mengandungi kebencian yang tersirat, dan dilakukan dengan niat jahat.
"Ia menggalakkan dan menghasut cemuhan politik dan awam, memulaukan dan menimbulkan stigma terhadap saya, tindakan yang melulu dan sangat cuai, dan ia boleh mencetuskan pergolakan serta permusuhan umum di kalangan pelbagai komuniti di Malaysia.
"Ia memutarbelitkan kebenaran dan menyebarkan kepalsuan mengenai saya dan menolak peluang untuk membolehkan saya memberitahu dan menyampaikan maklumat di pihak saya, dan ia tidak bertanggungjawab; mewujudkan keadaan tidak menentu pada masa itu; semata-mata untuk mencipta sensasi murah dan untuk meningkatkan pembaca halaman Facebooknya," katanya.
Kok berkata tidak boleh dinafikan lagi bahawa perkara utama tuduhan yang dibuat terhadapnya adalah sangat serius dan mengancam nyawa kerana akibatnya adalah sangat serius kerana ia menjejaskan integriti dan reputasi kedudukannya sebagai Menteri Kabinet Malaysia.
"Selain itu, integriti dan reputasi saya sebagai pegawai politik kanan dalam DAP telah dikompromi dengan serius kerana terdapat ramai ahli Muslim dalam DAP dan juga di kalangan penyokong atau pengundi saya di kawasan saya secara umumnya," katanya.
Dalam samannya yang difailkan pada 4 Feb lepas, Kok merujuk kepada artikel Syarhan yang menulis dan menyiarkannya di Facebook pada 19 Jan, 2018 di bawah tajuk "Ucapan YB Ustaz Khalil Benar: DAP Jangan Kurang Ajar".
Kok juga merujuk kepada artikel kedua dengan tajuk "Teresa Kok Tidak Setuju Islam Agama Rasmi Persekutuan" yang didakwanya defendan menyiarkan dan disiarkan pula oleh portal berita Malaysia Today pada 12 Jan lepas.
Plaintif mendakwa apa yang tersirat dalam kedua-dua artikel itu antaranya ialah beliau anti-Islam, rasis, menyalah guna kuasanya sebagai menteri kabinet, di samping seorang yang tidak beretika dan tidak boleh dipercayai.
Kok memohon ganti rugi am, ganti rugi teruk dan gantu rugi teladan serta injunksi bagi menghalang defendan atau ejennya daripada menerbitkan semula artikel itu.
Plaintif turut memohon faedah, kos serta lain-lain yang kos yang difikirkan sesuai oleh mahkmah.
Syarhan dalam penyataan pembelaannya yang difailkan pada 29 Mac lepas mendakwa artikel pertama yang diterbitkannya adalah berasaskan fakta-fakta yang benar dan bersifat tindak balas politik yang munasabah terhadap DAP selain mendakwa ia tidak bersifat memfitnah.
Syarhan juga mendakwa beliau tidak pernah menerbitkan artikel kedua itu selain mendakwa artikel berkenaan tiada kaitan dengan Kok.
Perbicaraan bersambung pada Rabu.
-- BERNAMA
#artikel #DAP #Facebook #Islam Agama Rasmi Persekutuan #kebencian #kenyataan saksi #kurang ajar #Mahkamah Tinggi #Malaysia Today #melukakan hati #menjejaskan integriti #Pas Selangor #Portal #saman #Syarhan Humaizi Abdul Halim #Teresa Kok #Ucapan YB Ustaz Khalil Benar
;