Artikel dedah RM80 juta dirompak Kementerian Pendidikan, satu fitnah melampau - KPM

Fareez Azman
Disember 29, 2018 15:29 MYT
KPM: "Laporan dari blog itu telah membuat rumusan jahat dan tidak berasas serta bertujuan menjejaskan imej Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan. - Gambar fail
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini menafikan sekeras kerasnya laporan di dalam sebuah blog yang tular di laman sosial berhubung pembelian pembesar suara oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor Mei lalu.
Dalam satu kenyataan media, siasatan dalaman KPM mendapati laporan bertajuk "Cikgu sekolah tampil mendedahkan RM80 juta dirompak Kementerian Pendidikan" adalah satu fitnah yang melampau dan berniat jahat.
Siasatan mendapati, dua buah sekolah yang baru dibuka itu dibekalkan alat pembesar suara oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor berharga RM1,720 bukan RM6,000 seperti yang didakwa.
Tegas KPM pembelian itu telah melalui proses perolehan yang teratur dan mengikut prosedur kewangan.
Laporan dari blog yang memetik maklumat daripada aplikasi WhatsApp itu dikatakan oleh KPM telah membuat rumusan jahat dan tidak berasas serta bertujuan menjejaskan imej Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan.
KPM tidak pernah dan tidak bercadang untuk membuat sebarang pembelian peralatan dengan jumlah begitu besar serta harga yang tidak munasabah yang merugikan kerajaan dan wang rakyat.
Malah individu yang membuat "posting" berkenaan melalui laman Facebook pada Jumaat telah mengakui kesilapannya dan memohon maaf atas butiran harga yang menjadi tular.
#blog #Calar Imej #Cikgu #Dr Maszlee Malik #fitnah #KPM #Menteri Pendidikan #pembesar suara #siasatan #Tidak Berasas #Tular
;