Arshad terus berjuang selepas tiga kali pembedahan - Antashah
Wan Syamsul Amly
November 13, 2014 13:05 MYT
November 13, 2014 13:05 MYT
Dua pembedahan susulan kurang 14 hari selepas pemindahan hati pada 28 Oktober lepas, bayi 19 bulan yang menghidap penyakit Atresia Biliari (hati), Arshad Imanshah diharap dapat terus berjuang demi masa depan yang ceria seperti kanak-kanak lain.
Bapanya, Antashah Mohd Nor berkata, semangat Arshad dilihat sangat tinggi walaupun kini diberi ubat tidur dengan dos rendah untuk menenangkannya.
"Selepas pembedahan pemindahan hati pada 28 Oktober lalu, Arshad menjalani pembedahan selepas mengalami kesukaran bernafas pada 5 November lepas.
"Usus besar Arshad mengalami kebocoran dan kerana tekanan yang kuat dari air dan keadaan perutnya semakin membesar, saluran yang bocor itu pecah dan menyebabkan bakteria dalam usus bersarang dalam badannya.
"Bahagian tersebut telah dibuang dan disambung kembali... harapan (agar) Arshad dapat berjuang dan penyambungan tersebut sembuh serta berfungsi dengan cepat," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Keadaan terkini Arshad selepas menjalani tiga pembedahan dalam tempoh dua minggu di HUS - Gambar Antashah
Arshad menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Universiti Singapura (HUS) pada 28 Oktober lepas.
Antashah yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam memberitahu, Arshad kemudiannya menjalani satu lagi pembedahan pada Selasa, 11 November, selepas pakar mendapati perutnya kembali membesar.
"Perutnya membesar dari 56 ke 61 sentimeter (cm) dalam masa kurang daripada 12 jam, walaupun sudah diberi empat antibiotik berlainan, jangkitan itu tidak mahu menunjukkan tanda pengurangan.
"Doktor tidak mahu mengambil risiko jangkitan kuman, satu lagi pembedahan dilakukan kelmarin menjadikan kesemua tiga pembedahan dalam masa kurang dua minggu...sehingga malam tadi, doktor masih memantau perkembangan perut Arshad yang masih menunjukkan naik dan turun, semoga Arshad kuat menghadapi semua ini," ujarnya.
Sejak Julai, Astro AWANI menyiarkan kisah Arshad yang memerlukan sekurang-kurangnya RM500,000 untuk pembedahan pemindahan hati.
Kos itu tidak termasuk rawatan susulan dan ubat-ubatan yang terpaksa ditanggung selepas pembedahan.
Antashah sebelum ini turut mengambil inisiatif sendiri dengan mewujudkan satu kumpulan khas di Facebook yang diberi nama ‘Donate and Save Arshad Imanshah’ bertujuan mengumpul dana bagi pembedahan pemindahan hati anaknya, kini laman itu turut memuat naik perkembangan Arshad selepas pembedahan.
Antashah sentiasa berada di sisi Arshad selepas anaknya menjalani tiga pembedahan dalam tempoh dua minggu di HUS - Gambar Antashah
Dalam pada itu, Antashah yang juga merupakan penderma sebahagian hatinya kepada Arshad kini semakin sihat termasuk selera makan yang kembali normal.
"Cuma sakit pada abdomen masih ada dan rawatan susulan untuk melihat luka bedah adalah pada minggu hadapan," ujarnya.
Jelas Antashah, doa daripada semua benar-benar diharapkan pada masa kini selepas mengharungi detik paling sukar untuk Arshad dalam masa dua minggu selepas pembedahan.
"Hari ini, doktor mungkin akan mengeluarkan tiub pernafasan Arshad dan mengharap padanya untuk bernafas sendiri...kata doktor, Arshad sudah terlalu lama bergantung kepada mesin.
"Arshad, kuatkan semangat juangmu, daddy dan ibu tetap ada di sisi...semoga Arshad cepat sembuh," katanya.
Selain https://www.facebook.com/Arshadimanshah, maklumat mengenai Arshad juga boleh diperoleh melalui #arshadimanshah, #donateRM1forbabyarshad, #donatemoreRM1forbabyarshad dan #donateandsavebabyarshad.