Arshad makin kritikal, perlu cukupkan RM500,000 untuk pembedahan segera
Wan Syamsul Amly
Ogos 14, 2014 08:43 MYT
Ogos 14, 2014 08:43 MYT
Keadaan Arshad Imanshah Antashah (16 bulan) yang muntah darah dan mengalami pendarahan hidung pada Rabu memaksa bapanya Antashah Mohd Nor merayu kepada orang ramai membantu mencukupkan dana perubatan agar anaknya segera menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Universiti Singapura (HUS).
Penyakit Atresia Biliari (hati) yang dideritai Arshad sejak lahir ibarat 'bom jangka' yang boleh membawa maut pada bila-bila masa.
Keluarga anak kecil ini hanya dapat berharap agar bantuan kewangan serta doa rakyat negara ini dapat menghentikan penderitaannya.
Antashah, ketika menghubungi Astro AWANI, berkata pemeriksaan doktor mendapati punca pendarahan adalah disebabkan saluran darah yang pecah.
"Secara amnya, muntah darah menandakan ada salur darah yang pecah dan apa yang akan dilakukan doktor adalah memasukkan kamera dan melihat saluran darah yang pecah kemudian mengikatnya untuk mengurangkan pendarahan.
"Risikonya sangat tinggi. Penyelesaian terbaik adalah menghantar Arshad ke Singapura dan membuat pembedahan. Fungsi hati Arshad semakin lama semakin merosot," jelasnya sayu.
Antashah yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam sedar risiko pembedahan itu selain berdoa, berharap dan berusaha agar dana pembedahan itu mencukupi sebelum segala-galanya 'terlambat'.
Antashah sebelum ini mengambil inisiatif sendiri dengan mewujudkan satu ruangan khas di Facebook (FB) yang diberi nama ‘Donate and Save Arshad Imanshah’ bertujuan mengumpul dana bagi pembedahan pemindahan hati berkenaan.
Ia turut dikongsi orang ramai di beberapa laman sosial lain seperti di Instagram dan Twitter.
Bagaimanapun, pada Hari Raya Aidil Fitri baru-baru ini, Arshad menunjukkan sedikit perkembangan positif dan bertatih bersama ibu dan 'daddy' di rumah.
Jelas Antashah, dia berharap agar dana perubatan sebanyak RM320,000 dapat dicapai sasaran dalam masa 24 jam.
"Tolonglah, kongsikan rayuan saya supaya tabung ini cukup untuk biayai pembedahan Arshad. Jika cukup, saya akan bawa Arshad ke Singapura esok dan buat yang terbaik untuknya.
"Saya benar-benar mengharap dan terus berharap Arshad dapat menjalani pembedahan hati. Tolong doakan yang terbaik untuk Arshad," ujarnya.