Arshad di Singapura, tunggu saat pembedahan hati

Wan Syamsul Amly
Ogos 27, 2014 18:13 MYT
Arshad di Singapura, tunggu saat pembedahan hati. - Gambar fail
Ketika artikel ini ditulis (Rabu, 27 Ogos), bayi yang mengidap penyakit Atresia Biliari (hati), Arshad Imanshah Antashah (16 bulan) di dalam perjalanan ke Singapura untuk memulakan prosedur pembedahan hati di Hospital Universiti Singapura (HUS).
Bapanya, Antashah Mohd Nor berkata, dia amat bersyukur kerana pakar dari HUS memaklumkan melalui e-mel pada Isnin, Arshad sudah boleh ke Singapura untuk memulakan rawatan di sana.
Wajah terkini Arshad - Gambar Antashah
"Alhamdulillah pakar dari HUS maklumkan kita sudah boleh ke sana. ‎Selepas buat imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) kedua tempoh hari, nanah atau darah beku yang ada di tulang belakang Arshad hilang sama sekali.
‎"Doktor pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mengatakan ianya satu keajaiban seolah-olah Arshad telah diberi satu peluang yang baru untuk meneruskan pemindahan hati," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini
Arshad memerlukan sekurang-kurangnya RM500,000 untuk membiayai kos rawatan pemindahan organ yang akan dilakukan di HUS.
Walau sedar pembedahan itu memerlukan kos besar, Antashah terus berusaha untuk mencari dana dengan pelbagai cara selain menyatakan sanggup untuk memberikan sebahagian hatinya demi melihat melihat anak keduanya itu kembali sihat dan membesar seperti kanak-kanak lain.
Wajah Arshad pada Hari Raya Aidilfitri lepas - Gambar Antashah
Jelas Antashah, kata doktor, sekiranya masih ada lagi nanah maka peluang Arshad adalah sangat tipis untuk pemindahan hati.
‎"Namun dengan izin Allah dan berkat doa orang ramai, masalah bengkak tulang belakang itu sembuh.
"Sekarang, setelah menerima makluman daripada doktor di HUS yang memaklumkan Arshas tidak boleh tunggu lama lagi sehingga dananya mencukupi kerana keadaan hatinya yang secara klinikalnya semakin lemah dan kritikal," ujarnya.
Tambah Antashah, doktor turut menasihatinya untuk ke HUS dahulu dan menjalani pemeriksaan terutama hatinya sebagai penderma.
"Oleh kerana pemeriksaan hati secara rapi mengambil masa beberapa hari jadi ianya perlu dilakukan dahulu. Ia persediaan hati saya benar-benar sesuai untuk proses pemindahan hati kepada Arshad kelak," jelasnya.
Wajah Arshad pada Hari Raya Aidilfitri lepas - Gambar Antashah
Dalam pada itu, Antashah mengakui pembedahan hanya akan dilakukan bergantung kepada keadaan Arshad.
"Arshad juga tidak boleh demam atau ada sebarang jangkitan dalam tempoh seminggu hingga ketiga minggu sebelum menjalani pemindahan hati.
"Sebagai contoh sekiranya bacaan suhu badan Arshad untuk menjalani pemindahan hati harus di bawah 37.3 celcius maka sekiranya pada hari pembedahan suhu badan arshad adalah 37.4 celcius maka pembedahan tidak akan dijalankan.
"Sampai begitu sekali tahap serius pembedahan ini bagi mengelakkan sebarang kesilapan berlaku," katanya.
Wajah terkini Arshad - Gambar Antashah
Ketika ditanya tentang dana yang dikumpul untuk pembedahan, Antashah dengan nada perlahan mengakui masih belum mencukupi;
"Memang belum cukup dan diharap orang ramai atau badan korporat terus menyumbang ke dana Arshad ini. Jumlah RM500,000 itu hanya untuk pemindahan hati, tidak termasuk pemeriksaan, ubat dan prosedur susulan selepas pembedahan. Maklumat juga boleh diperolehi melalui #donateRM1forbabyarshad, #donatemoreRM1forbabyarshad dan #donateandsavebabyarshad
"Saya hanya memandu kereta ke Singapura kerana banyak barang yang perlu dibawa. Semoga semuanya selamat dan Arshad dapat kehidupan baru yang lebih ceria seperti kanak-kanak lain," jelasnya.
#Arshad #dana #hati #HUS #Singapura #Twitter #UiTM
;