Aroma kopi Sarawak semerbak sejak 1876
Syafik Shukri Jalil
September 14, 2019 06:00 MYT
September 14, 2019 06:00 MYT
Fort Margherita dan Astana antara tinggalan dinasti Brooke di Sarawak. Namun ada satu lagi yang anda mungkin tidak tahu -- kopi, minuman penuh aroma yang digemari di serata dunia.
Kopi mula dibawa oleh Rajah Putih kedua Sarawak, Rajah Charles Brooke dari Ceylon atau kini lebih dikenali dengan Sri Lanka.
Menurut Columns of Ceylon Observer, Sarawak Gazette dan Brooke Digital Archives, jenis kopi yang pertama kali dibawa masuk ke Sarawak adalah Arabica pada 1866.
Namun disebabkan faktor persekitaran dan cuaca, jenis kopi ini tidak berjaya ditanam.
Disebabkan itu, Rajah Charles Brooke mengambil inisiatif membawa masuk kopi jenis Liberica untuk ditanam di Sarawak 10 tahun selepas itu iaitu pada 1876.
Usaha ini membuahkan hasil apabila kopi jenis Liberica berjaya tumbuh subur sekali gus membuka jalan untuk dikomersialkan.
Menurut Raven Kwok yang merupakan pengasas kedai kopi Earthlings Coffee di Tabuan Jaya, Kuching kopi jenis Liberica mempunyai aroma dan rasa yang pekat.
“Liberica adalah unik jika dibandingkan dengan spesis kopi lain kerana aroma yang lebih wangi dan biji kopinya juga bersaiz lebih besar daripada kopi biasa,” katanya ketika ditemui wakil Astro AWANI.
Tambahnya peratusan penghasilan kopi jenis ini sangat kurang jika dibandingkan dengan kopi lain pada ketika ini.
Bagaimanapun ia masih menerima permintaan yang sangat tinggi dan atas faktor ini mendorongnya menjadi antara kopi yang mahal di pasaran.
Pengusaha atau penanam kopi di Sarawak yang mengusahakan kopi ini juga sangat kurang ketika ini.
Menurut Raven, hal ini terjadi kerana penanam kopi temptan kurang didedahkan dengan cara pemprosesan yang betul sekali gus kurang pengetahuan dalam menghasilkan kopi yang berkualiti.
“Pada mulanya kami terpaksa mencari kopi jenis ini jatuh dalam hutan namun kami cuba mendapatkan stok seberapa banyak yang mungkin supaya ia dapat diproses secara serentak kerana ia sangat terhad di Sarawak,” ujarnya lagi.
Ketika ini Earthlings Coffee mengambil pendekatan untuk mendidik dan memberi pendedahan kepada penanam kopi di Sarawak supaya mereka boleh mengusahakan kopi jenis ini seterusnya menghasilkan kopi yang bermutu tinggi dan mengikut kehendak pasaran.