Arnab perap Ketereh penuhi selera pelanggan di Kuala Lumpur, Johor

Bernama
September 17, 2021 09:13 MYT
Arnab baka New Zealand White yang diternak Mohd Saupi di rumahnya di Kampung Chengal, Ketereh. -Foto Bernama
KOTA BHARU: Permintaan tinggi sate, burger dan bebola daging arnab membuatkan pasangan suami isteri dari Kampung Chengal, Ketereh dekat sini, tidak menang tangan menyiapkan lebih 500 kilogram (kg) daging tempahan pelanggan setiap bulan.
Mohd Saupi Hassan, 55, berkata kira-kira dua tahun lepas, beliau bermula dengan hanya menternak sembilan ekor arnab namun bilangannya semakin bertambah sehingga mencecah 500 ketika ini berikutan permintaan tinggi daripada pembuat sate dari Johor dan Kuala Lumpur.
"Saya membekalkan daging arnab siap disembelih, dilapah dan diperap.
"Apabila permintaan terhadap sate, burger, dan bebola daging arnab tempahan diterima meningkat, secara purata saya perlu membekalkan lebih 500 kg daging sebulan (kira-kira 500 ekor).
"Daging arnab yang siap disembelih, dilapah dan diperap dijual pada harga RM38 sekilogram dan permintaan datang daripada pembuat sate dari Johor dan Kuala Lumpur," katanya kepada Bernama, di sini baru-baru ini.
Bercerita mengenai kaedah penternakan, Mohd Saupi berkata berikutan permintaan daging arnab yang meningkat beliau bersama isteri, Noriha Ahmad, 49, sentiasa menjaga pemakanan haiwan tersebut bagi memastikan kualiti dagingnya.
Beliau berkata kandang arnab itu dibina di belakang rumah bertujuan memudahkan proses penjagaan makan dan minum mamalia tersebut yang perlu dilakukan secara berjadual.
"Makanan adalah paling penting dalam usaha 'menggemukkan' arnab bagi penghasilan banyak daging dan berkualiti sehingga ada arnab ini seberat dua hingga lima kilogram.
"Arnab jenis Chinchilla dan New Zealand White yang dipelihara ini adalah baka dikacukan dan dijual bergantung kepada kategori dan umur dengan harga induk bermula dari RM30 seekor (usia sebulan) kepada RM150 seekor," katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Saupi berkata beliau semakin bersemangat menternak arnab memandangkan haiwan tersebut agak mudah membiak dan cepat mencapai usia matang iaitu sekitar empat bulan sebelum dapat mengawan.
Menurutnya dalam tempoh sebulan dengan hanya seekor arnab induk, ia mampu melahirkan antara tujuh hingga lapan ekor anak untuk setiap kali kelahiran.
Mengulas lanjut, Mohd Saupi berkata disebabkan kebanyakan penternak arnab mempunyai stigma terpaksa mengeluarkan banyak belanja bagi makanan, justeru beliau mengambil inisiatf menghasilkan sendiri makanan untuk arnab peliharaannya seperti rumput dan pokok herba yang 'dicerut' untuk menjimatkan kos.
"Saya tidak memberikan 100 peratus makanan palet tetapi lebih banyak pokok organik seperti daun pisang, ulam raja, sireh cina dan belalai gajah yang ada di sekitar rumah.
"Palet biasanya diberikan sekali sehari iaitu pada pukul 12 malam, manakala pada waktu pagi rumput dan pokok organik diberikan.
"Untuk minuman pula, saya sediakannya dalam bekas khas yang boleh disedut secara automatik oleh arnab," katanya.
-- BERNAMA
#daging arnab #kandang arnab #Mohd Saupi Hassan #Chinchilla
;