Arnab panggang menawarkan kelainan pada bulan Ramadan

Nur Fazlizai Ali
April 25, 2021 09:26 MYT
Hidangan berkenaan mempunyai penggemar yang tersendiri dan sambutan yang diterima amat menggalakkan. - Astro AWANI
MARANG: Dek kerana ingin mencuba sesuatu yang berbeza daripada peniaga yang lain mendorong seorang pemuda untuk menyediakan hidangan arnab panggang khususnya pada bulan Ramadan.
Wan Mohd Muttaqim Wan Muda berkata idea itu timbul pada Mac tahun lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama kali dikuatkuasakan.
Anak muda yang berusia 25 tahun itu berkata, bermula detik tersebut dia mula membela arnab pedaging baka New Zealand sebelum memperkenalkan juadah itu pada bulan Ramadan tahun lalu.
Ternyata usaha pemuda daripada Marang itu membuahkan hasil kerana hidangan berkenaan mempunyai penggemar yang tersendiri dan sambutan yang diterima amat menggalakkan.
"Saya ingin mencuba sesuatu yang berlainan dan arnab ini, bak kata orang, sesuatu yang jarang ditemui.
"Sambutan agak menggalakkan dan setiap hari saya menjual 10 sehingga 15 ekor arnab panggang," katanya.
Menurut Mohd Muttaqim dia hanya mempromosikan juadah arnab panggang yang dihasilkan di rumahnya di Kampung Baru Rhu Muda, Marang.
Jelasnya lagi pelanggannya bukan sahaja terdiri daripada penduduk di sekitar Marang malahan penggemar dari daerah lain turut mencari menu itu untuk dijadikan sajian berbuka puasa.
Katanya seekor arnab panggang seberat 900 gram hingga 1 kilogram dijual dengan harga RM60.
Sementara itu seorang pelanggan, Mohd Khusairy Mohd Noor berkata, hidangan tersebut pasti menjadi pilihan utamanya ketika bulan Ramadan apatah lagi dengan rasa isinya yang pejal dan manis.
Katanya lazimnya arnab panggang ini agak sukar untuk ditemui pada hari biasa namun sebagai penggemar daging arnab mereka sanggup mencarinya.
"Kami mencari kelainan sikit untuk menu berbuka puasa.
"Daging arnab ini agak manis dan pejal dan saya rasa ia sesuai untuk dijadikan juadah berbuka puasa," katanya.
Mohd Khusairy berkata meskipun harganya lebih mahal berbanding ayam mahupun daging lembu, namun mereka tidak kisah dengan harga yang ditetapkan itu.
#arnab panggang #ramadan2021 #PKP #new zeland
;