Army Red Warrior janji aksi 'wow' pada Hari Kebangsaan
Bernama
Ogos 25, 2023 12:36 MYT
Ogos 25, 2023 12:36 MYT
KUALA LUMPUR: Lompatan bermotosikal merentasi 66 motosikal model Royal Enfield adalah antara persembahan 'wow' yang dijanjikan pasukan Akrobatik Motosikal Tentera Darat iaitu Army Red Warrior pada sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya, Khamis depan.
Lebih mengagumkan, lompatan itu akan dijayakan Sarjan Saidatul Husna Kamaruddin, 34, dengan menggunakan Kawasaki Scrambler 250cc dan pemilihan 66 motosikal bersesuaian dengan ulang tahun kemerdekaaan ke-66 tahun negara.
Bercakap kepada Bernama, Pegawai Pemerintah Army Red Warrior Mejar Mohd Shah Rizad Mohd Yusof berkata persembahan pada Hari Kebangsaan nanti merupakan kolaborasi julung kali pasukan Army Red Warrior dengan peneraju global dalam segmen motosikal bersaiz sederhana, Royal Enfield.
Katanya aksi lompatan sejauh lebih 30 meter oleh Saidatul Husna, pemegang rekod Lompatan Motosikal Terpanjang (Wanita) dalam Malaysian Book of Records (MBOR) menerusi slot persembahan khas Malaysia MADANI di bawah segmen daya upaya dan kecekapan itu pastinya mengagumkan para penonton.
"Terdapat dua jenis aksi akrobatik motosikal oleh Army Red Warrior yang pertama melibatkan motosikal carrier seperti aksi penunggang membawa motosikal menaiki tangga setinggi lapan kaki, formasi bunga raflesia, tugu negara dan merak manakala motosikal scrambler untuk aksi lebih ekstrem," katanya.
Mohd Shah Rizad berkata pasukan persembahan kali ini yang terdiri daripada dua pegawai dan 48 anggota memulakan latihan pada 7 Ogos lepas manakala persiapan daripada segi logistik seperti penyelenggaraan motosikal dibuat lebih awal.
Memasuki detik-detik akhir latihan, beliau berkata seramai 20 pelagak ngeri lelaki dan dua pelagak ngeri wanita termasuk Saidatul Husna menunjukkan tahap komitmen serta motivasi tinggi untuk menjayakan persembahan kali ini.
"Ini bukan persembahan kali pertama, jadi prestasi mereka setakat ini sangat memuaskan. Pemilihan mereka ini juga dibuat mengikut tiga prinsip iaitu skill, knowledge dan attitidue, saya yakin mereka boleh lakukan yang terbaik.
"Selain keberanian para pelagak ngeri ini, kerjasama antara pasukan termasuk pegawai pengurus, ketelitian pasukan logistik, teknikal dan perubatan juga amat penting demi menghasilkan persembahan menarik 31 Ogos ini," katanya.
Bagi Saidatul Husna sendiri, beliau tidak dapat menyembunyikan keterujaannya untuk melakukan lompatan bersejarah pada 31 Ogos ini yang juga merupakan hari kelahirannya.
"Saya teruja, namun pada masa sama gementar kerana ini melibatkan nyawa, jadi saya kena bersedia mental dan fizikal sebaik mungkin untuk jayakan misi ini.
"Untuk lompatan kali ini ini, saya gunakan Kawasaki Scrambler 250cc, jenis sama digunakan untuk cipta MBOR pada persembahan TATU Tentera Darat (TDM) sempena Hari Tentera Darat ke-90 di Port Dickson, Mac lepas," katanya yang sudah 13 tahun bersama Army Red Warrior yang sebelum ini dikenali sebagai Tim Akrobatik Wira Merah.
Menyentuh mengenai latihan, beliau berkata lompatan yang dilakukannya tidak melibatkan jarak sebenar 66 motosikal Royal Enfield memandangkan panjang padang kawad yang terhad.
"Latihan dengan jarak sebenar akan dibuat di Putrajaya semasa raptai separa 28 Ogos ini. Latihan paling saya perlukan ketika ini supaya lebih yakin walaupun telah banyak kali melalukan persembahan lompatan ini," kata ibu kepada seorang cahaya mata itu.
Dalam persembahan di Putrajaya 31 Ogos ini, Army Red Warrior menampilkan 19 motosikal antaranya Scrambler Kawasaki KLX 450cc dan 250cc, NAZA Cruise 250cc, Honda CB400, Birmingham Small Arms (BSA), Guzzi dan Modenas Jaguh yang merupakan buatan Malaysia.
Tidak menyasarkan untuk mencipta sebarang rekod pada persembahan kali ini, Army Red Warrior bagaimanapun teruja untuk menjayakan lompatan pertama kali dalam sejarah merentasi 66 motosikal dan dijangka akan memecah rekod pasukan yang berperanan mempromosikan TDM.
-- BERNAMA