Armada TLDM dipecahkan kepada pemerintahan Armada Barat dan Timur - Panglima TLDM

Bernama
Januari 16, 2017 21:20 MYT
AHMAD KAMARULZAMAN: TLDM kini dipecahkan kepada pemerintahan Armada Barat dan Armada Timur untuk memberi tumpuan dan perhatian yang tinggi kepada keselamatan. - Gambar fail
Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini dipecahkan kepada dua iaitu pemerintahan Armada Barat dan Armada Timur untuk memberi tumpuan dan perhatian yang tinggi kepada keselamatan terutama di Sabah dan Sarawak.
Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata pemecahan ini berdasarkan perspektif yang ada iaitu Malaysia sebuah negara maritim yang banyak sumber dan kepentingan negara seperti gas asli dan minyak yang perlu dijaga.
Katanya sebelum ini pemerintahan TLDM berpusat di pangkalan TLDM Lumut, di bawah Panglima Armada TLDM.
"Kerajaan telah meluluskan melalui Majlis Angkatan Tentera (MAT) untuk armada TLDM ini dipecahkan kepada dua yang mana pemerintahan Armada Barat di Lumut dan pemerintahan Armada Timur di Kota Kinabalu.
"Dari segi keselamatan pula, kita dapat lihat sejak kebelakangan ini tumpuan dan perkembangan (aktiviti) di Laut China Selatan dan perkembangan maritim di perairan Sulu di Sabah Timur memerlukan kerajaan memberi fokus tinggi, dan menjaga keselamatan maritim terhdap kedua-dua negeri (Sabah dan Sarawak)," katanya.
Ahmad Kamarulzaman berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan TLDM dan Pegawai Kehormatan Pegawai Simpanan Sukarela (PSSTLDM) di KD Sri Gombak, Jalan Padang Tembak, di sini, hari ini. Majlis ini menyaksikan pegawai kanan TLDM yang dinaikkan pangkat, Laksamana Muda Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman, menjadi Panglima Armada Timur pertama yang akan mengetuai pemerintahan Armada Timur.
Ahmad Kamarulzaman menjelaskan ia sejajar plan transformasi TLDM dan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut perancangan strategik dan kemampuan kerajaan.
Selain itu, Ahmad Kamarulzaman berkata dengan pembahagian dua armada itu maka operasi akan datang akan menjadi lebih mantap dan efektif serta masa tindak balas dapat dipertingkatkan.
Tambah beliau, perintahan dwi wilayah (dua wilayah-Barat dan Timur) ini secara rasmi akan berkuatkuasa pada bulan April atau Mei ini. - BERNAMA
#Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin #MAT #PSSTLDM #TLDM
;