Armada sambut baik MyCC pantau platform penghantaran makanan
Kenyataan Media
Julai 28, 2021 22:55 MYT
Julai 28, 2021 22:55 MYT
BIRO Keusahawanan ARMADA Nasional menyambut usaha Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang sedang memantau dan menilai dengan teliti sekiranya terdapat platform penghantaran makanan melanggar Akta Persaingan 2010.
Kami melihat tindakan proaktif daripada MyCC itu nanti bakal menjamin kelangsungan kerjaya, perniagaan dan hidup semua pihak sama ada syarikat penyediaan makanan, pengusaha platform penghantaran dan juga warga perkhidmatan penghantar makanan atau P-Hailing di seluruh negara.
Kami juga peka dengan aduan masyarakat baru-baru ini mengenai kualiti perkhidmatan, pengenaan caj komisen yang tinggi selain harga makanan dan minuman yang dikenakan oleh syarikat penghantaran makanan di atas platform tertentu.
Kami mengambil berat keseriusan isu-isu ini dan sedang melihat situasi ini dari segenap sudut dari perspektif terutama mengenai perlakuan oleh syarikat platform penghantaran makanan terhadap pemain industri makanan dan minuman, penghantar dan pengguna sama ada isu ini menimbulkan isu persaingan atau tidak.
Dalam masa sama, kami berterima kasih atas keprihatinan dan langkah terbaik yang diambil oleh Ketua ARMADA Nasional, YB Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal membawa permasalahan berkenaan terus kepada YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 14 Julai lalu.
Senator Wan Ahmad Fayhsal telah menyampaikan segala saranan dan cadangan bagi mengatasi masalah yang disuarakan oleh penghantar p-hailing daripada Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia yang membawa suara 80,000 anak muda dalam sektor ekonomi gig ini.
Kami berpendapat dalam keadaan semasa ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19 ini, satu penyelesaian yang holistik dalam situasi menang-menang untuk semua pihak amat penting dalam membantu Pelan Pemulihan Negara.
- Adi Farhan, Exco Keusahawanan Armada Nasional