Armada gerakkan lebih ramai sukarelawan, bantu tingkatkan kadar vaksinasi harian

Astro Awani
Ogos 3, 2021 17:37 MYT
Wan Ahmad Fayhsal (kanan) berkata, program itu adalah misi khidmat sosial untuk meningkatkan kapasiti sukarelawan di PPV di seluruh negara. - Gambar Wan Ahmad Fayhsal
KUALA LUMPUR: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu akan menggerakkan lebih ramai sukarelawan untuk turun padang bagi membantu kerajaan meningkatkan lagi kadar vaksinasi harian.
Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dalam satu kenyataan berkata, usaha itu merupakan kesinambungan terhadap 'Misi100Jam' yang dilancarkan baru-baru ini.
Menurutnya, program itu adalah misi khidmat sosial untuk meningkatkan kapasiti sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara dan mereka yang terlibat tidak menerima imbuhan kewangan.
“Utama sekali melalui lonjakan kapasiti ini, sukarelawan akan membantu untuk memastikan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) mendapat akses kepada vaksin dengan segera.
“Ia termasuklah dengan menyediakan khidmat pengangkutan dari rumah ke PPV dan kembali. Pasukan sukarelawan khusus juga akan ditugaskan untuk menjaga pendaftaran secara ‘walk-in’.
“Bantuan itu khusus untuk golongan yang masih belum mendapat janji temu di PPV yang digazetkan untuk tujuan ini bagi memastikan semua penduduk di Lembah Klang mencapai imuniti kelompok minimum seperti yang disasarkan,” katanya.
Jelasnya, usaha itu juga sejajar dengan hasrat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memastikan seluruh penduduk dewasa di Lembah Klang mendapat sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin COVID-19 menjelang penghujung Ogos 2021.
“Armada sentiasa meletakkan kebajikan rakyat sebagai teras gerak kerja sayap, selari dengan misi Malaysia Prihatin yang menjadi wadah kerajaan pimpinan Perikatan Nasional,” ujarnya.
Armada sebelum ini telah mengaktifkan 'Misi 100 jam Khidmat Sukarela' untuk membantu petugas di PPV seluruh negara, dengan ahlinya akan mewakafkan 100 jam di bahagian masing-masing untuk menjadi sukarelawan tanpa bayaran.
Sukarelawan ini akan membantu dari semua segi yang berkaitan dengan kerja-kerja pemberian vaksin, termasuk menghubungi dan membantu golongan Orang Kurang Upaya untuk ke PPV serta pendaftaran MySejahtera di Projek Perumahan Rakyat dan kampung-kampung.
#ARMADA #Wan Ahmad Fayhsal #Bersatu #pemuda #vaksin #COVID-19 #imuniti kelompok #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #PM #PPV #suntikan #warga emas #Pusat Pemberian Vaksin #sukarelawan
;