Armada cadang 20 peratus calon pilihan raya daripada anak muda - Wan Ahmad Fayhsal

Fareez Azman
November 28, 2020 13:22 MYT
Ketua Armada Nasional, Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal turut mengusulkan lima teras utama melibatkan golongan belia dalam bidang pendidikan, politik dan kerjaya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Arnada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencadangan agar 20 peratus calon piliha raya umum akan datang terdiri daripada anak muda.
Menurut beliau, cadangan yang digariskan di bawah teras Belia Kunci Kemenangan yang diusulkan itu sejajar dengan Undi 18 yang dikuatkuasakan pada Julai lalu.
Dalam masa sama, beliau berkata, separuh daripada rakyat Malaysia berumur 30 tahun ke bawah dan wajib disantuni.
"Armada mencadangkan agar 20 peratus daripada calon pilihan raya dan lantikan mestilah terdiri daripada anak muda termasuk Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Majlis Kerajaan Tempatan serta khidmat sokongan anggota pentadbiran," jelasnya.
Ketika menyampaikan ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2020 pada Sabtu, Armada, kata Wan Ahmad Fayhsal, turut menyeru agar golongan mahasiswa dan profesional muda dapat didekati dan diyakinkan untuk menggunakan platfom Bersatu.
"Golongan mahasiswa dan profesional muda perlu diyakinkan untuk aktif berpolitik dan bersama dengan kita. Armada harus menyusun semula platform dan gerak kerja untuk golongan ini di bawah payung Mahasiswa Bersatu Negara. Namun ini perlu dibuat di bawah panji dan jenama yang tunggal dan tidak berbelah bahagi – logo bunga raya kita," katanya lagi.
Dalam ucapannya juga, beliau turut mencadangkan agar rombakan segera sistem pendidikan melibatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dilakukan dalam meningkatkan kemahiran tenaga kerja golongan muda.
"Rombakan segera sistem pendidikan terutamanya untuk pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) agar setiap belia, bahkan sebelum meninggalkan alam persekolahan sudah mempunyai peluang kerja yang sesuai dengan bakat dan minat masing-masing," katanya lagi.
Dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali ini, lima teras dibawa oleh Armada antaranya anak muda mahir dan maju, kehidupan berkualiti, golongan rentan dan Malaysia di persada dunia.
Turut disentuh usul satu keluarga satu kerjaya, rumah mesra rakyat, pendidikan sepanjang hayat dan kebajikan hari tua.
#Dewan Rakyat #Dewan Negara #Perhimpunan Agung Bersatu #Ketua Armada Nasional #Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal #Belia #usul #TVET #kerjaya
;