Arca Setia Kawan simbolik kewujudan Sitiawan dirasmi
Bernama
Februari 11, 2024 06:00 MYT
Februari 11, 2024 06:00 MYT
MANJUNG: Ungkapan Setia Kawan yang sangat ikonik dengan Sitiawan dizahirkan melalui pembinaan sebuah arca sebagai mercu tanda baharu di kawasan itu.
Arca yang diwujudkan bagi memperingati semangat setia kawan dalam kisah sejarah tentang bagaimana pekan Sitiawan mendapat namanya itu telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
"Arca 'Setia Kawan' ini memang unik kerana mempunyai nilai sejarah termasuk kisah teladan iaitu kisah seekor gajah yang tidak mahu meninggalkan seekor gajah lagi yang terperangkap di dalam sungai.
"Apabila air sungai naik gajah itu tidak meninggalkan 'kawannya' hingga mengakibatkan kedua-duanya mati, yang kemudiannya sungai itu dinamakan Sungai Gajah Mati dan Kampung Gajah Mati," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Arca Setia Kawan di Pusat Komuniti Warisan Kampung Koh dekat sini, yang turut dihadiri Pegawai Eksekutif Tourism Perak Nurmalis Musa dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM) Syamsul Hazeman Md Salleh.
Turut hadir Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Astaka Jason Ng Thien Yeong dan ADUN Pantai Remis, Wong May Ing.
Menurut Nga, selepas Kampung Gajah Mati mendapat musibah, namanya berubah kepada Setia Kawan pada 1886.
"Pada tahun itu wabak cacar menyerang kampung itu hingga mengakibatkan banyak kematian dan segelintir penduduk melalui Ketua Kampung dikenali sebagai Mohd Ali telah menulis surat kepada Residen Perak ketika itu, Sir Hugh Low supaya nama Gajah Mati ditukar kepada Setia Kawan.
"Sejak itu ia dikenali sebagai Setia Kawan dan penduduk kampung memendekkan nama kepada Sitiawan sahaja," katanya.
Nga berkata MPM telah memperuntukkan RM600,000 di kawasan Kampung Koh bagi memastikan Lorong Budaya Setia Kawan Kampung Koh sebagai tempat tarikan pelancongan di daerah ini.
"Mural dan lampu-lampu yang menghiasi dinding bangunan lama di sini berpotensi menjadi satu lagi tarikan terbaharu buat pengunjung.
"Begitu juga jualan di kedai-kedai yang masih beroperasi di bangunan lama dan dalam tempoh satu tahun ini, bagi memastikan Kampung Koh bersedia menjadi antara tempat untuk dikunjungi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya. - BERNAMA