Arca Puncak Purnama: Waris Syed Ahmad Jamal luah perasaan sedih

Norsiah Mohd Ramli
Julai 4, 2016 15:14 MYT
Arca Puncak Purnama dirobohkan atas alasan terlalu usang dan tiada cara untuk membaik pulih keadaan arca tersebut. - Gambar fail
Keluarga Seniman Negara, Allahyarham Datuk Syed Ahmad Jamal melahirkan rasa sedih terhadap tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), meruntuhkan arca Puncak Purnama di Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Atap, di sini pada Jumaat lepas.
Anak lelaki allahyarham, Syed Nabil Jamal, berkata DBKL merobohkan arca tersebut tanpa meminta kebenaran daripada keluarganya.
"Mengetahui bahawa mereka ingin runtuhkan arca tersebut adalah sesuatu yang sedih. Mereka melakukan demikian seolah -olah supaya orang lain tidak boleh buat apa-apa mengenainya. Mustahil.
"Saya fikir ia bukan cara yang baik. Saya mahukan mereka perjelaskan sebab mengapa mereka berbuat demikian," kata Syed Nabil pada sidang media arca Puncak Pernama di Balai Seni Visual, di sini, hari ini.
Isteri allahyarham, Datin Hamidah Ahmad turut meluahkan rasa sedih dan marahnya terhadap tindakan DBKL berkenaan.
"Bila dengar arca tersebut diruntuhkan, sakitnya hati. Arca tu tidak kacau siapa-siapa pun," luahnya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Datuk Mahadzir Lokman memberitahu, ketika ini, pihak mereka masih berbincang dengan peguam bagi membawa isu ini ke muka pengadilan.
Bagaimanapun, ia masih dalam perbincangan.
Sabtu lalu, menerusi satu sidang media, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata DBKL memutuskan untuk merobohkan arca tersebut ekoran terlalu usang dan tiada cara untuk membaik pulih keadaan arca tersebut.
Arca Puncak Purnama pada asalnya dibina dengan menggunakan gelas seramik yang dibangunkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) pada tahun 1986, hasil kerjasama Kedutaan USA dan Wisma Putra.
Namun strukturnya ditukar ke besi tahan karat pada 1996.
Arca Puncak Purnama dibina bagi memperingati manusia menjejak kaki ke bulan.
#arca seni #DBKL #perobohan #Puncak Purnama #seniman negara #Syed Ahmad jamal
;