Arca Buddha di Bukit Choras simbol kemajmukan wujud berabad lamanya di Kedah - Penyelidik

Azib Zikry
Julai 1, 2024 11:40 MYT
Nasha merupakan Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, USM yang mengetuai penemuan arca Buddha berbentuk manusia di Tapak Warisan Arkeologi Bukit Choras di Yan, Kedah. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Penemuan arca Buddha berbentuk manusia di Tapak Warisan Arkeologi Bukit Choras menunjukkan kemajmukan budaya dari pelbagai latar belakang telah wujud sekian lamanya di bumi Kedah.
Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (PPAG-USM) Nasha Rodziadi Khaw, yang mengetuai penyelidikan di tapak berkenaan berkata, sejarah juga telah membuktikan bagaimana penduduk asal telah berasimilasi dengan pedagang dari China, India dan Asia Tenggara.
"Sekarang ini kita perlu melihat Kedah Tua bukan sebagai kerajaan Hindu Buddha yang berpusat, tetapi ia merupakan sekumpulan penempatan pesisir pantai yang berada di kawasan barat semenanjung Tanah Melayu.
"Selain daripada penduduk setempat dan peribumi, wujud juga komuniti pedagang asing, pelawat luar yang datang dari China, India dan kawasan lain di Asia Tenggara," katanya.
Justeru penemuan beberapa tapak arkelogi di sekitar jajahan kerajaan Kedah Tua ini dianggarkan wujud sekitar pada abad ke-5 Masihi merupakan tamadun tertua di Asia Tenggara.
Menurutnya, meskipun artifak berkenaan bercirikan agama Hindu ataupun Buddha, ia menunjukkan jalinan kerjasam antara masyarakat tempatan bersama pedagang dan masyarakat luar sudah mekar berabad lamanya di tanah air kita sendiri.
"Apabila kita menemui tapak seperti Hindu, atau Buddha ini, kemungkinan besar tapak-tapak ini dibina untuk kegunaan para pedagang, atau ia dibina atas kerjasama antara penduduk setempat dengan pedagang asing.
"Penempuan ini membuktikan kewujudan masyarakat majmuk di Kedah Tua seperti mana yang berlaku di Kesultanan Melayu Melaka yang wujud daripada latar belakang yang berbeza," tambahnya lagi.
Pandangan itu dikongsikannya dalam program AWANI Pagi, bagi berkongsi tentang Penemuan arca Buddha dari abad ke-8 hingga ke-9 di Tapak Warisan Arkeologi Bukit Choras, Kedah.
Tapak berkenaan juga merupakan bukti, Kedah merupakan lokasi pusat keagamaan penting dan lebih tua berbanding Angkor Wat di Kemboja dan Borobudur di Indonesia.
#arkeologi #Nasha Rodziadi #bukit choras #patung buddha
;