Arboris tempatan terlalu sedikit daripada jumlah diperlukan - Pakar

Irfan Faruqi
Mei 14, 2024 22:31 MYT
Kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail pada 7 Mei lalu - foto/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Arboris (pakar tumbuhan berkayu) tempatan yang ada ketika ini adalah jauh lebih rendah berbanding jumlah bakat yang diperlukan untuk memantau kesihatan pokok di bandar-bandar.
Pensyarah Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Mohd Nazre Salleh berkata, tanpa bilangan arboris yang mencukupi, audit pokok-pokok tua tidak boleh dilaksanakan dengan berkesan.
“Penjagaan pokok-pokok ini memang telah lama kita lakukan tetapi ada beberapa kelemahan yang kita perlu akui.
“Kita perlu tahu bahawa bidang arborikultur ini masih baharu di Malaysia, walaupun sudah lama diperkenal di Barat dengan amalan terbaik yang lengkap.
“Di negara kita, arborikultur hanya diperkenalkan pada tahun 1995. Kemudian pada 2005, barulah ada arboris bertauliah yang pertama disijilkan.
“Amalan audit merupakan perkara yang baik untuk kita laksanakan, tetapi kita hanya melahirkan kurang daripada 100 arboris pada tahun 2005,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Tambahnya, pendekatan penjagaan pokok oleh arboris bertauliah dan mendapat sijil daripada Pertubuhan Arborikultur Antarabangsa (ISA) perlu disesuaikan dengan realiti ekosistem tempatan.
Menurut Mohd Nazre, modul ISA adalah lebih tertumpu kepada spesies pokok di barat berbanding spesies pokok yang tumbuh dalam iklim Malaysia, yang memerlukan penjagaan yang berbeza.
Menyentuh mengenai insiden pokok tumbang sejak seminggu lalu, Mohd Nazre berkata banyak aspek yang perlu diteliti termasuk spesies pokok yang terlibat yang disyaki bukan berasal dari spesies tempatan.
“Banyak perkara baharu yang masih perlu diteliti di Malaysia antaranya aspek spesies pokok. Jika dilihat dalam kes-kes pokok tumbang yang berlaku di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, melibatkan spesies pokok yang bukan berasal dari dalam negara.
“Sejarahnya pokok-pokok ini dibawa masuk oleh British sebelum merdeka dan sebelum tahun 1900 telah mula ditanam. Maka, kita tidak tahu segi genetik dan ketahanan pokok-pokok yang terlibat,” jelasnya.
Agenda AWANI: ‘Musim pokok tumbang’
#Pokok tumbang #arboris #Agenda Awani #pakar tumbuhan
;