Arahan PKPD: "Kami tidak minta banyak" - Penduduk rayu keperluan asas
Harits Asyraf Hasnan
Mac 31, 2020 16:45 MYT
Mac 31, 2020 16:45 MYT
Penduduk di beberapa perkampungan di Sungai Lui yang kini menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) memohon supaya keperluan asas yang disalurkan kepada mereka dapat dilengkapkan mengikut keperluan rumah.
Salah seorang penduduk di Kampung Batu 23 Sungai Lui, Farizuan Abdul Hamid berkata wujud keperluan lain dalam kalangan penduduk tertentu untuk mendapatkan bekalan seperti telur, lampin pakai buang bayi, susu formula bayi dan beberapa keperluan lain.
“Kalau daripada kekurangan itu, sebenarnya kalau boleh ditambah baik keperluan asas macam telur. Ada orang kampung cakap kehabisan gas untuk memasak.
“Susu formula bayi, lampin pakai buang pun sudah kekurangan stok. Itu antara barang penting termasuk bawang dan barang asas lain yang sangat diperlukan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Dia turut berharap supaya pihak berkuasa dapat memberi kelonggaran dan budi bicara kepada sesetengah individu yang ingin mendapatkan bekalan yang penting.
Ditanya berkenaan tahap kesediaan mental penduduk di kawasannya, Farizuan berkata buat masa ini mereka masih lagi terkawal dan saling berhubung antara satu sama lain.
“Setakat saya di Batu 23, tengok dari segi mental masih baik. Kita saling berhubung melalui aplikasi WhatsApp. Mental terkawal lagi.
“Kami tidak minta banyak bantuan, cuma keperluan asas untuk bagi orang kampung bertenang sikit,” katanya.
Antara keperluan yang telah diterimanya buat masa ini adalah adalah sardin tin, susu pekat manis, beras, teh serbuk, gula, garam dan biskut.
Kawasan Batu 21 hingga 24 Sungai Lui, Hulu Langat pula menjadi PKPD kedua dan berkuatkuasa pada 12 malam Ahad.
#COVID
#COVID19
#Hulu Langat
#koronavirus
#Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan
#PKPD
#Sungai Lui