Arahan pengunjung Cameron Highlands jalani ujian pengesanan COVID-19 adalah palsu

Bernama
Januari 6, 2021 12:56 MYT
JKN Pahang menafikan pihaknya mengeluarkan arahan supaya orang awam yang telah mengunjungi Cameron Highlands menjalani ujian pengesanan COVID-19 seperti yang tular menerusi media sosial. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Berikut adalah penafian berita tular dalam media sosial oleh agensi yang bertanggungjawab melalui kenyataan media Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) pagi ini.
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang menafikan pihaknya mengeluarkan arahan supaya orang awam yang telah mengunjungi Cameron Highlands menjalani ujian pengesanan COVID-19 seperti yang tular menerusi media sosial.
JKN Pahang menjelaskan bahawa Notis Perintah Tutup Premis yang dimaksudkan sebenarnya dikeluarkan bagi pelaksanaan aktiviti nyahkuman premis perniagaan di samping aktiviti pengesanan kontak rapat juga telah dilakukan selepas satu kes positif dikesan di daerah tersebut.
JKN Pahang menasihati orang ramai untuk mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dengan menghubungi Crisis Preparedness Response Centre (CPRC) di talian 09-5707985 / 7988 atau melalui e-mel cprc_pahang@moh.gov.my untuk sebarang pertanyaan.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan kesahihan produk minuman sebagai penawar COVID-19 seperti yang tular dalam media sosial.
Sehubungan itu, KKM menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menjual produk kononnya boleh menjadi penawar kepada virus COVID-19.
-- BERNAMA
#penafian berita tular #Pasukan Respons Pantas #Kementerian Komunikasi dan Multimedia #KKMM #Jabatan Kesihatan Negeri #JKN Pahang #Notis Perintah Tutup Premis #Crisis Preparedness Response Centre #CPRC
;