Arahan pasang alat pengehad laju langkah tidak adil - Pengusaha bas

Azyyati Ahmad
Julai 18, 2016 18:54 MYT
Datuk Seri Liow Tiong Lai memaklumkan satu peraturan pemasangan alat khas pengehad kelajuan pada semua bas ekspres akan dikuatkuasa secara berperingkat. - Gambar fail
Pengusaha bas ekspres rata-ratanya, tidak bersetuju dengan arahan pemasangan alat pengehad laju sebagai langkah mengatasi kekerapan kes kemalangan melibatkan bas ekspres.
Bagi Pengarah Syarikat Cosmic Express, Datuk Abu Hassan Awang berkata, langkah itu hanya akan menambahkan beban kos kepada syarikat dan tidak benar-benar memberi pengajaran kepada pemandu bas.
Kata beliau, setiap bas sememangnya diwajibkan memasang Sistem Kedudukan Global (GPS) yang mana ia menelan belanja RM1,600 dan kos penyelenggaraan pula sebanyak RM110 sebulan bagi sebuah bas.
Ia lebih membebankan memandangkan tiada kenaikan tambang bas dilakukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Kami pengusaha bas sendiri sudah belanja banyak seperti GPS berharga RM1,600 bagi kos pemasangan dan RM110 bagi kos penyelenggaraan ke atas sesebuah bas, di Cosmic sahaja ada 59 buah bas, bayangkan sebulan kami bayar RM5,900 ditambah dengan kos-kos lain seperti insurans dan sebagainya.
"Jika terjadi sesuatu kes, syarikat pengusaha yang terbeban sedangkan kenaikan tambang bas tidak diberi sudah lebih beberapa tahun, ini sesuatu yang tidak adil bagi kami,” kata beliau ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau berkata adalah lebih baik penguatkuasaan lebih tegas dikenakan ke atas pemandu bas bagi mengurangkan kes kemalangan, bukannya terus menghukum pengusaha sepertinya.
Ini bagi memberi pengajaran kepada pemandu agar lebih beringat pada masa hadapan.
“Sudah banyak kali terjadi, jika salah yang dilakukan oleh seseorang pemandu, syarikat bas yang akan kena padahnya. Selalunya syarikat diarahkan tutup sementara kerana keselahan yang dilakukan oleh seorang pemandu, ia sekali gus memberi kesan kepada mata pencarian syarikat itu keseluruhannya.
"Saya cadangkan agar penguatkuasaan yang lebih tegas dilakukan seperti naikkan kadar saman ke atas pemandu bas itu sendiri, jika dahulu saman RM300 kini naikkan kepada RM500,” katanya.
Pada Ahad, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai memaklumkan satu peraturan pemasangan alat khas pengehad kelajuan pada semua bas ekspres akan dikuatkuasa secara berperingkat.
Kata beliau, untuk peringkat awal semua bas baru wajib dipasang dengan alat tersebut tanpa sebarang pengecualian.
Peraturan itu akan dilaksanakan selepas mendapati sikap sesetengah pemandu bas yang gemar memandu melebihi had laju mengakibatkan kemalangan maut.
#abu hassan awang #alat pengehad laju #bas ekspress #Cosmic Express #kemalangan
;