Arahan kuarantin masih terpakai kepada menteri pulang dari luar negara

Bernama
Disember 25, 2021 12:50 MYT
Khairy berkata sangat penting untuk berwaspada dan berhati-hati dalam hal ini dan perkara (kuarantin) ini masih lagi terpakai. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Semua menteri yang sedang bercuti di luar negara dan diarahkan pulang segera masih tertakluk kepada perintah kuarantin seperti ditetapkan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
"Buat masa ini, mereka mesti menjalani kuarantin. Walaupun dipanggil pulang, sangat penting untuk berwaspada dan berhati-hati dalam hal ini dan perkara (kuarantin) ini masih lagi terpakai," katanya pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan pemberita sama ada menteri yang diarahkan pulang tertakluk kepada kuarantin atau mereka akan diberikan pengecualian tertentu memandangkan negara berdepan masalah banjir.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di Bentong, Pahang berkata menteri Kabinet yang sedang bercuti dan merancang untuk bercuti diarah membatalkan cuti masing-masing, sehingga masalah bencana banjir yang melanda negara ketika ini selesai.
BACA: Banjir: Menteri Kabinet diarah batal cuti, pulang ke Malaysia segera
Susulan pengumuman berkenaan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan turut memaklumkan cuti semua ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah jabatan serta agensi kerajaan dibatalkan serta-merta.
Mengulas mengenai dakwaan Ahli Parlimen Hulu Langat Datuk Hasanuddin Mohd Yunus melanggar perintah kuarantin dan dilihat melawat mangsa banjir di kawasan Parlimennya, Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiasat perkara berkenaan.
"Beliau memohon pengecualian kuarantin untuk perjalanan antara 8 Dis hingga 12 Dis. Beliau menghadiri mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, Turki bersama tiga wakil rakyat lain.
"Pengecualian itu telah diluluskan kerana protokol ujian dan pelepasan yang kami ada untuk perjalanan rasmi," katanya.
Menurut Khairy apabila Hasanuddin tiba di Malaysia pada 22 Dis, pengecualian awal ditolak kerana diminta melakukan kuarantin di rumah, manakala Pusat Tindak Balas dan Kesiapsiagaan Krisis (CPRC) KKM juga menghantar e-mel kepada Hasanuddin pada 20 Dis memaklumkan perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) adalah diluluskan.
"Kami kini menyiasat kes itu dan melihat ke mana beliau pergi, dari Turki ke Iran dan Pakistan dan di mana lagi dan mengapa apabila menerima e-mel mengenai HSO pada 20 Dis, beliau melanggar (perintah) kuarantinnya," katanya.
Bagaimanapun, Khairy berkata hanya denda RM1,000 akan dikenakan kepadanya sekiranya Hasanuddin didapati melanggar tempoh kuarantin.
Ditanya mengenai langkah pengawalan jangkitan COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir, Khairy berkata KKM telah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi bagi memantau tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di pusat pemindahan sementara (PPS).
"Kami faham situasi di PPS menyukarkan mangsa banjir untuk patuh SOP. Tetapi kami tempatkan pegawai kesihatan di PPS untuk pantau dan nasihatkan untuk terus patuh SOP. Mereka (mangsa) diwajibkan pakai pelitup muka," katanya.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat 405 kes positif COVID-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir di negeri-negeri terjejas.
Susulan itu, Khairy berkata pihaknya menjalankan langkah pencegahan secara bersasar dengan mengasingkan individu yang positif COVID-19 serta-merta selepas mendapat keputusan ujian saringan.
Selain itu, beliau berkata KKM juga mewujudkan pelbagai fasiliti kesihatan di kawasan terjejas banjir khususnya di PPS antaranya kit medik, klinik bergerak dan klinik medan yang ia bukan sahaja dikhususkan untuk mengelak penularan COVID-19 malah sebagai langkah pencegahan terhadap penyakit bawaan air banjir.
"KKM menyediakan bekalan ubat mencukupi. Jadi, mana-mana individu (mangsa banjir) yang berasa tidak sihat perlu segera mendapatkan rawatan," katanya.
-- BERNAMA
#COVID-19 #kuarantin #menteri #luar negara
;