Arahan Bekerja Dari Rumah akan dibincangkan semula
Astro Awani
April 27, 2021 18:51 MYT
April 27, 2021 18:51 MYT
KUALA LUMPUR : Kerajaan dijangka membincangkan semula pelaksanaan arahan Bekerja Dari Rumah (BDR)
dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan pihak swasta.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu perlu diteliti semula bagi membantu mengurangkan beban ibu bapa yang bekerja susulan pelaksanaan semula Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).
"Saya percaya kerajaan akan berbincang mungkin dengan KPPA mengenai perkara ini, mungkin dengan pihak swasta, mungkin KKM juga akan berbincang perkara ini. Ini bagi mengurangkan bebanan ibu bapa yang bekerja, tetapi anak perlu berada di rumah.
"Ini adalah seperti sebelum PKP 2.0. Kita kemudian ada buat perubahan dalam PKP 2.0 yang akhirnya kita benarkan kita kerja di pejabat. Namun sekarang kes meningkat," katanya dalam sidang media pada Selasa.
Ujarnya, sebarang pengumuman melibatkan pelaksanaan BDR kakitangan awam akan dilakukan KPPA, dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pula akan mengumumkan bagi pihak swasta.