Arah politik Malaysia menuju PRU14

Teoh El Sen
Mei 16, 2013 07:20 MYT
Arah arena politik Malaysia bakal menampakkan transformasi politik daripada yang lama kepada politik baru, mengikut penganalisis dari Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel), Dr Zulkanain Abdul Rahman.
Zulkanain, yang ditemuramah malam tadi dalam rancangan Agenda AWANI oleh hos Kamarul Bahrin Haron, kata politik baru yang dimaksudkan itu akan berteraskan nilai-nilai demokrasi, pencapaian dan prestasi ekonomi negara dan bukan terlalu berteraskan perkauman.
“Penekanan kepada ikatan keluarga dan favouritism (pilih kasih) akan berkurang dan sebaliknya kepada hal yang berkaitan dengan good governance (pentadbiran baik),” kata Zulkanain kepada Astro Awani.
“Maksudnya, dalam masa yang akan datang, tidak semestinya pemimpin parti yang lama akan dilantik semula. Isu integriti, isu peribadi calon, tahap pendidikan calon itu akan lebih diberikan perhatian.”
Pengundi juga akan lebih memberi perhatian kepada hal-hal yang berkaitan dengan inflasi, pengangguran, pengagihan ekonomi, kadar faedah pinjaman kereta dan rumah, kata beliau.
Zulkanain juga berkata dalam lima tahun nanti menuju ke Pilihan Raya ke 14, akan nampak penambahan pengundi-pengundi, terutamanya di bandar, yang akan menekankan adanya politik baru.
“Perhatian boleh diberikan oleh Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat macam mana hendak melonjakkan sokongan pengundi bandar ini yang merangkumi pengundi Cina dan Melayu dan juga pengundi yang lebih berpendidikan.”
Kata Zulkanain juga, penyelidikan telah mengenal pasti sekurang-kurangnya dua kumpulan di bandar iaitu satu yang mahu lihat perubahan dari segi nilai-nilai demokrasi dan satu lagi yang tidak mahu abaikan asepek pembangunan.
Dalam perbincangan bersama Kamarul, Zulkanain telah menyatakan tujuan UMCEDEL membuat kajian adalah untuk membudayakan penyelidikan dan juga memberikan pendidikan politik.
Turut dibincangkan adalah bagaimana kajian akademik boleh menolong orang ramai memahami isu-isu politik tanpa dihanyuti oleh perbahasan politik yang menuju kepada emosi.
UMCEDEL dijangka akan mendedahkan laporan penuh daripada kajian Pilihan Raya Umum ke-13 minggu depan.
#Agenda Awani #Astro Awani #Kamarul Bahrin Haron #umcedel #Zulkanain Abdul Rahman
;