Arafah #QuranHour angkat surah al-Jumu’ah, al-Hajj
Sinar Harian
Jun 14, 2024 09:45 MYT
Jun 14, 2024 09:45 MYT
SHAH ALAM: Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengajak seluruh umat Islam untuk mengikuti program Arafah #QuranHour secara dalam talian di platform Facebook dan YouTube QuranHour serta Sinar Harian pada 9 Zulhijjah 1445H bersamaan 16 Jun 2024 bermula jam 5 petang.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, program yang bertemakan ‘Reset Takwa’ itu mengangkat dua surah utama iaitu al-Jumu’ah dan al-Hajj sempena perhimpunan terbesar umat Islam di Padang Arafah, Makkah pada hari tersebut.
“Tema yang dibawa adalah untuk mengembalikan takwa para jemaah, alumni dan bakal haji sempena hari Arafah.
“Reset takwa ini penting bagi membentuk Mukmin sejati dan ia perlu diingati sepanjang masa terutamanya setiap minggu pada hari Jumaat yang disampaikan oleh khatib ketika membaca khutbah.
“Orang yang terbina dengan takwa ini takut dengan ALLAH SWT dan akan melakukan segala suruhan-Nya malah secara tidak langsung menjadi agen perubahan sama ada di dalam rumah, organisasi, masyarakat serta negara,” katanya pada Khamis.
Tambah Marhaini, orang ramai juga boleh mengikuti program berkenaan yang akan bersiaran di TV9, TV Alhijrah dan Astro Oasis serta platform media sosial Kashoorga.
Menurutnya, WUIF berkerjasama dengan beberapa pihak untuk menjayakan program tersebut seperti Tabung Haji (TH), Sinar Harian dan selebriti termasuk individu lain yang mahu bersama-sama terlibat dalam program berkenaan.
Tambahnya, wakil Sinar Harian di Tanah Suci, Riswandi Razak dengan kerjasama Unit Bimbingan Tanah Suci Tabung Haji telah mengkoordinasikan program Arafah #QuranHour di Makkah pada 11 Jun lalu.
“TH juga menyambut baik program tersebut dengan mengadakan sesi #QuranHour menjelang hari Arafah dengan kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bersama isteri di Surau Abraj, Hotel Abraj Janadriah, Makkah.
“Orang ramai boleh menonton siaran rakaman oleh Riswandi menerusi Facebook QuranHour dan Sinar Harian pada Jumaat bermula jam 9 hingga 10 pagi,” ujarnya.
Tambah Marhaini, sebanyak 51 lokasi di 14 negeri Rumah Ngaji turut menganjurkan Arafah #QuranHour.
Sementara itu, Ketua Unit Penyelidikan dan Pembangunan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Safri Muhammad Zein berkata, dalam kedua-dua surah tersebut jelas menyebut mengenai seruan ALLAH SWT untuk umat Islam bertakwa dan melaksanakan ibadah.
“Dalam ibadah haji kalau kita faham salah satu tuntutan adalah mendekatkan diri dengan ALLAH SWT, seperti sedia maklum surah al-Jumu’ah mengajak umat Islam supaya ‘reset’ semula diri setiap hari Jumaat.
“Begitu juga dengan surah al-Hajj, kandungan dalam surah berkenaan banyak menjelas dan mengajak semua manusia untuk bertakwa kepada-Nya,” ujarnya. - Sinar Harian